Ahli Bersatu Terengganu diingatkan bersikap rasional 

Ahli Bersatu Terengganu diingatkan bersikap rasional 

RAZALI IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan supaya bersikap rasional dan menerima setiap keputusan pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) berhubung agihan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November depan.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata, keputusan agihan kerusi itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PN.

“Bersatu Terengganu minta untuk bertanding dua kerusi Parlimen iaitu Besut dan Hulu Terengganu, kita tunggu sahaja apa keputusannya nanti kerana sudah pasti PN akan membuat keputusan terbaik demi satu matlamat iaitu kemenangan.

“Oleh itu, semua ahli baik daripada Bersatu atau Pas perlu berlapang dada dan terima keputusan itu seterusnya bekerjasama sebagai satu pasukan untuk PRU-15 tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul khabar angin bahawa Bersatu hanya diberikan kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 dengan Datuk Rosol Wahid akan mempertahankan kerusi itu manakala Parlimen Besut akan ditandingi oleh Pas.

Ditanya mengenai dakwaan terdapat sebilangan kecil penyokong dan ahli Bersatu di Besut mahu keluar parti dan menyertai UMNO sekiranya Bersatu tidak bertanding di Besut pula, Razali berkata, perkara itu tidak akan berlaku.

“Setiap kali perjumpaan di peringkat akar umbi hingga ke negeri, kita sering tekankan ahli dan penyokong agar tidak beremosi terhadap tuntutan (dua kerusi Parlimen).

“Di Besut contohnya, Bersatu ada hujahnya dan Pas juga ada hujahnya yang mahu bertanding di kerusi tersebut.

“Namun, keputusan akhir nanti tetap dimuktamadkan pucuk pimpinan yang melihat dalam konteks lebih menyeluruh demi kebaikan PN,” katanya.

Pada PRU14, Parlimen Besut dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Idris Jusoh yang mendapat 34,335 undi menewaskan calon Pas, Riduan Mohamad Nor (29,736 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ir. Wan Nazari Wan Jusoh (6,864). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya