PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) mengeluarkan lapan notis amaran kepada premis makanan di Medan Selera RASA, Alamanda, Presint 1, di sini kerana tidak mematuhi arahan pembungkusan makanan yang ditetapkan.
PPj menerusi kenyataan akhbar berkata, notis amaran itu dikeluarkan menerusi Operasi Pematuhan Penggunaan Produk Biodegradasi Dan Kebersihan Premis Makanan, semalam.
Menurutnya, seramai 36 anggota daripada Bahagian Pelesenan, Bahagian Kesihatan Persekitaran, Bahagian Komunikasi Korporat, Bahagian Penguatkuasa, dan Kementerian Wilayah Persekutuan turut serta dalam operasi itu.
“Sebanyak 16 premis makanan diperiksa semalam bertujuan memastikan penggunaan produk biodegradasi dipatuhi sepenuhnya selain meninjau aspek pelesenan dan keselamatan serta kualiti makanan di premis makanan di pusat beli-belah itu,” katanya.
Katanya, produk biodegradasi yang dibenarkan hanyalah dari jenis ‘biodegradable dan compostable’ dan mendapat pengiktirafan SIRIM ECO 001:2018 dan SIRIM ECO 009:2019.
Dalam operasi sama, PPj turut memberi penarafan gred kepada empat premis makanan dengan tiga premis diberikan penarafan Gred A dan sebuah premis diberi Gred B.
Selain itu, terdapat satu kompaun dan dua notis amaran diberikan kepada pemegang lesen dibawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WP Putrajaya) 2016. –UTUSAN