KEMAMAN: Lebih 7,000 telur tuntung sungai atau nama saintifiknya Batagur Baska dieram di Pusat Pemuliharaan Tuntung Sungai di Kampung Pasir Gajah, dekat sini sejak usaha konservasi dilakukan bermula tahun 2011.
Pengasas bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-kura dan Labi-labi Malaysia, Dr. Chen Pelf Nyok berkata, daripada jumlah tersebut, lebih 4,000 telur berjaya ditetaskan dan dilepaskan.
“Setiap tuntung yang kami lepaskan dimasukkan mikrocip sebesar sebiji beras di bahagian kaki bertujuan untuk mengesan identiti tuntung tersebut.
“Bila tuntung naik bertelur, kami boleh tahu sama ada tuntung tersebut adalah tuntung yang kami lepaskan sebelum ini atau sebaliknya dengan membuat imbasan menerusi mikrocip yang berada di kaki mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pembersihan dan Pengindahan Sungai bersama komuniti serta Majlis Pelepasan Anak Tuntung di Pasir Gajah, di sini, hari ini.
Pelf Nyok berkata, telur tuntung yang dieramkan dalam tempoh 80 hingga 100 hari itu diperoleh di sekitar Sungai Kemaman di kampung tersebut.
“Usaha konservasi ini dilakukan memandangkan reptilia ini semakin pupus dan tidak semua tempat ada tuntung. Kalau kita tidak menjalankan usaha konservasi dan kesedaran dalam kalangan masyarakat, mungkin masih banyak telur tuntung yang dimakan.
“Kita harap agar tuntung yang telah dilepaskan di sungai ini akan kembali naik bersarang dan bertelur di kawasan ini 20 tahun akan datang,” katanya.
Pada majlis tersebut, sebanyak 150 ekor tuntung sungai dilepaskan di sungai tersebut dan program yang berlangsung sejak awal pagi itu disertai lebih 100 peserta termasuk penduduk kampung serta beberapa badan bukan kerajaan. –UTUSAN