MELAKA: Kira-kira 70 peratus anggota dan pegawai Polis Kontinjen Melaka akan bertugas bagi melicinkan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bulan depan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, jumlah itu melibatkan kekuatan 1,800 pegawai dan anggota di negeri ini dengan sebahagian aset lain bersedia menghadapi Monsun Timur Laut dan menjaga keselamatan masyarakat.
“Kontinjen Melaka mempunyai seramai 2,572 pegawai dan anggota dan daripada jumlah itu, 1,800 personel telah ditugaskan untuk menjaga keselamatan pada PRU15 ini.
“Kita juga membuat persiapan rapi untuk menghadapi bencana banjir dengan seramai 250 personel diletakkan dalam tahap kesiapsiagaan tertinggi dan boleh diatur gerak pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Kempen Cegah Jenayah dan Walkabout Sempena Sambutan Perayaan Deepavali di Jalan Bendahara di sini, malam tadi.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November depan (Sabtu) sebagai hari pengundian PRU15.
Ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta DUN Bugaya, Sabah.
Tambah Zainol, polis mengenal pasti beberapa kawasan panas yang dijangka menarik perhatian ramai.
“Kita kenal pasti kawasan panas ini dan akan pastikan keadaan berjalan dengan lancar.
“Soal kawasan mana itu, biarlah polis yang uruskan, yang pasti kita membuat persiapan rapi. Rakyat tidak perlu bimbang keselamatan mereka, serahkan pada polis,” tegasnya. –UTUSAN