WWF Malaysia buka pusat sehenti Kontena Tuntung 

WWF Malaysia buka pusat sehenti Kontena Tuntung 

Kontena Tuntung merupakan pertama di negara ini bagi memulihara haiwan marin itu yang dikategorikan terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU: Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia memperkenalkan pusat sehenti tuntung dikenali Kontena Tuntung di Kampung Mangkuk dekat sini sebagai langkah melindungi hidupan itu.

Kontena Tuntung merupakan pertama di negara ini bagi memulihara haiwan marin itu yang  dikategorikan terancam di bawah Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN).

Ketua Pegawai Eksekutif WWF Malaysia, Sophia Lim berkata, kontena itu berfungsi menjadi tempat rujukan pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat berkaitan haiwan unik tersebut.

Menurutnya, bangunan kontena itu akan beroperasi secara rasmi pada awal tahun depan.

“Terdapat pusat penetasan dan galeri yang mengumpulkan maklumat berkaitan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan tuntung laut dan Tanah Bencah Setiu (Setiu Wetlands) bagi kegunaan komuniti tempatan serta orang awam.

“Usaha konservasi WWF Malaysia di Terengganu, salah satunya di Setiu Wetlands bermula sejak tahun 1980-an dengan peringkat awal hanya tertumpu kepada projek pemuliharaan penyu hijau dan tuntung laut.

“Kini, skop kerja konservasi WWF Malaysia turut meliputi usaha pemerkasaan komuniti setempat, kajian saintifik dan pemantauan guna tanah serta advokasi ke arah pengurusan dan perlindungan yang lebih holistik ke atas kawasan tanah bencah, lembangan sungai dan hutan di Tanah Bencah Setiu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Kontena Tuntung yang disempurnakan Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat di Kampung Mangkuk sini semalam.

Kontena Tuntung itu berjaya direalisasikan melalui kerjasama antara WWF Malaysia dan CIMB Islamic melibatkan pembiayaan sebanyak RM3 juta bagi tempoh tiga tahun bermula 2019 dengan tumpuan diberikan kepada pengurusan mampan dan holistik Tanah Bencah Setiu serta kawasan tadahannya.

Mengulas lanjut, Sophia berkata, WWF Malaysia sangat menghargai sumbangan diberikan CIMB Islamic kerana ia penting dalam usaha konservasi spesies tuntung laut yang berdepan ancaman kepupusan sekiranya tiada tindakan sewajarnya diambil.

“Pelbagai aktiviti termasuk kajian penyelidikan telah dirancang bagi membangunkan data asas tuntung laut untuk kegunaan rujukan pada masa akan datang, oleh itu kita harap semua pihak dapat menyokong usaha memulihara spesis ini bagi menjamin ekosistem yang seimbang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN