Warga Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

Warga Bangladesh didakwa bunuh rakan senegara

SEORANG tukang cuci warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya dua minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Seorang tukang cuci warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Mohammad Imran Miah, 31, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi. 

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Tertuduh yang tinggal di negara ini sejak enam tahun lalu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian seorang kenalan lelaki berusia 32 tahun di hadapan pintu masuk Kompleks Astaka Bukit Gedung, Bayan Baru antara pukul 9.30 hingga 11.17 malam, pada 21 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 23 November ini untuk laporan bedah siasat.

Pada 21 Ogos lalu, akhbar melaporkan seorang warga Bangladesh ditemukan maut dipercayai ditikam menggunakan pisau pada bahagian kiri perut di pekarangan Astaka Bukit Gedung.

Susulan kejadian itu, polis berjaya menahan empat lelaki warga asing berusia 31 hingga 45 tahun di sekitar lokasi kejadian dan mengesahkan kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya