KUALA SELANGOR: Kesesakan wad bersalin di hospital-hospital kerajaan hanya bermusim ekoran trend peningkatan kelahiran bayi pada September hingga November setiap tahun.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya mengakui isu itu yang berlaku di hampir semua hospital di seluruh negara ketika ini.
Kata beliau, statistik Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan kemuncak peningkatan kelahiran direkodkan pada Oktober sehingga turut menyebabkan masalah kekurangan katil.
“Perkara ini merupakan fakta yang diperoleh pada setiap tahun dan bukannya sengaja direka.
“Ia bermusim dan tidak dapat dielakkan kerana jumlah kelahiran bayi yang tinggi sepanjang tempoh tiga bulan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar majlis penyerahan projek Hospital baharu Tanjong Karang di sini, yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.
Terdahulu, media melaporkan wanita yang bersalin di beberapa hospital kerajaan terpaksa ditempatkan di kerusi sepanjang tempoh menunggu kelahiran bayi dengan ada yang terpaksa menunggu berhari-hari untuk mendapatkan katil.
Selain itu, mereka antaranya terpaksa merujuk ke beberapa hospital sebelum diterima masuk ke wad kerana alasan jumlah pesakit dalam satu masa terlalu ramai dan kekurangan katil.
Jelas Khairy, kesesakan wad itu turut berpunca faktor peningkatan jumlah pesakit yang perlu dipantau akibat komorbiditi dan berisiko tinggi.
“Ia turut melibatkan faktor rawatan bayi baru lahir yang tinggal di wad dalam tempoh agak lama.
“Selain itu, ada pesakit tidak dapat discaj (dibenarkan keluar) awal kerana berdepan kekangan seperti ahli keluarga bekerja dan belum bersedia datang mengambilnya,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, KKM sedang berusaha memperkukuhkan pergurusan katil di wad bersalin dan mempercepatkan proses discaj bagi kes berisiko rendah.
“Kita turut mahu mengurangkan masa menunggu di wad dan merancang menyediakan katil tambahan di hospital berdekatan.
“Selain itu, penilaian ke atas wanita bersalin yang berisiko rendah akan dilakukan bagi membolehkan mereka dihantar ke pusat bersalin sekali gus mengurangkan kesesakan hospital,” katanya.
Tambah Khairy, pihaknya turut akan menambah jumlah kakitangan kesihatan yang melakukan proses kelahiran terutama bagi kes berisiko rendah. –UTUSAN