Usaha cari dua nelayan hilang, bot karam

Usaha cari dua nelayan hilang, bot karam

BOT yang digunakan oleh empat nelayan ketika keluar memukat sebelum karam dan tenggelam akibat cuaca buruk dan ombak besar di Perairan Laut Hailam, Batu Pahat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Usaha mengesan dua nelayan yang hilang dalam kejadian bot karam ketika cuaca buruk di perairan Parit Hailam, dekat sini petang semalam diteruskan.

Mangsa ialah Te Chia Rong, 38, yang tinggal di Kampung Parit Botak, Mukim 10 dan Chia Hock Neng, 60, dari Jalan Rengit Impian 2, Taman Impian, Rengit.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd. Haniff Mohd. Yunus berkata, kejadian pukul 5 petang itu berlaku pada kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Parit Hailam.

Berdasarkan maklumat awal,  bot nelayan berkenaan dikendalikan oleh empat nelayan rakyat tempatan yang keluar untuk memukat.

“Walau bagaimanapun, keadaan cuaca buruk dan ombak besar menyebabkan bot terbalik seterusnya karam.

“Tekong dan seorang lagi kru berjaya menyelamatkan diri dengan melompat keluar dari bot dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang berada berhampiran, namun dua lagi tidak sempat untuk menyelamatkan diri, dipercayai sedang tidur semasa bot menarik pukat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Hanif, susulan kejadian itu, Op Carilamat diaktifkan pada pukul 8 malam dan Bot Kilat 47 dari Zon Maritim Batu Pahat telah diatur gerak ke lokasi.

“Ketika di lokasi, bot nelayan itu tidak kelihatan kerana dipercayai tenggelam sepenuhnya,  mangsa yang diselamatkan dipindahkan ke bot Kilat 47 dan seterusnya dibawa pulang ke Jeti dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).

“Op Carilamat bagi dua kru bot nelayan yang masih hilang diteruskan hari ini dengan tambahan aset dan anggota dari Maritim Malaysia serta dibantu Pasukan Polis Marin (PPM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya