KOTA BHARU: Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad disifatkan keliru apabila melabelkan Pas sebagai kafir berikutan parti itu menjalinkan kerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu pernah menyatakan ada pihak yang mengkafirkan orang, namun, sebaliknya yang diujarkan semalam.
Menurutnya, semua parti yang berkecimpung dalam dunia politik ini mahukan kuasa kerana dengan kuasa itulah boleh memberi perkhidmatan terbaik rakyat.
“Setiap parti yang bertanding mempunyai matlamat untuk menang sekali gus membentuk kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan sama ada secara sendiri ataupun berkongsi kuasa.
“Pas pun mahu kuasa, kalau masuk pilihan raya untuk kalah, itu adalah parti ataupun individu yang tidak begitu waras kerana saja-saja nak masuk pilihan raya,” katanya selepas diminta mengulas kenyataan Dr. Mahathir.
Bekas Perdana Menteri itumendakwa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan UMNO dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan semasa sidang media selepas Karnival Jualan Murah ‘Kota Bharu Prihatin’ di Gelanggang Seni, di sini hari ini.
Media semalam melaporkan, Dr. Mahathir berkata, hingga kini Pas tidak menarik balik dakwaan yang dibuatnya suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam. –UTUSAN