Tukar status Thai kepada Siam, hampir 9,000 diluluskan - Utusan Malaysia

Tukar status Thai kepada Siam, hampir 9,000 diluluskan

HAMZAH Zainuddin (tiga dari kiri) menyampaikan kad pengenalan kepada penerima dari masyarakat Siam di Pusat Koreksional Perlis, Arau, Perlis hari ini. -UTUSAN/SYED AZLAN HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kementerian Dalam Negeri meluluskan 8,910 permohonan penukaran status bangsa Thai kepada Siam dalam Mykad penduduk berketurunan tersebut yang lahir di negara ini sebelum merdeka.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kelulusan diberikan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu merangkumi semua permohonan yang dibuat etnik tersebut di seluruh Malaysia.

“Kementerian melalui JPN mengambil langkah proaktif menyelesaikan masalah yang bersifat teknikal dalam sistem mengenai ketidakselarasan maklumat sehingga menimbulkan kesulitan kepada golongan ini.

“Masyarakat berketurunan Siam di seluruh negara diminta menguruskan permohonan kad pengenalan baharu di mana-mana pejabat JPN berhampiran kediaman masing-masing,” katanya ketika berucap pada program Menyemai Kasih Rakyat Bersama Masyarakat Siam di Pusat Koreksional Perlis di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hanol Zamzam Ahmad dan Pengerusi Persatuan Siam Malaysia, Senator Ak Nan A/L Eh Took.

Menurut beliau, sebelum ini, kebanyakan masyarakat Siam  mengalami masalah untuk mendapat keistimewaan bumiputera termasuk menyambung pelajaran serta kegiatan ekonomi melibatkan tender bumiputera akibat masalah teknikal sistem JPN.

Dalam pada itu, Hamzah turut menekankan keperluan mendaftarkan semula perkahwinan pasangan yang berlangsung di luar negara bagi memastikan ia diiktiraf serta mengelakkan masalah ketika hendak mendaftarkan anak nanti.

“Perkahwinan yang berlangsung di luar negara adalah penting didaftarkan di JPN kerana sekiranya pasangan wanita bukan warganegara, pendaftaran kelahiran anak tidak akan mendapat kewarganegaraan Malaysia secara automatik sekiranya perkahwinan mereka tidak berdaftar.

“Justeru, pemimpin masyarakat hendaklah memainkan peranan memastikan komuniti di bawah tanggungjawab mereka sedar perkara ini bagi mengelakkan masalah lebih besar pada masa depan,” jelasnya.

Ditanya isu penyeludupan dadah susulan Thailand menghalalkan penggunaan ganja, beliau menegaskan pihaknya sentiasa membanteras aktiviti tersebut.

“Penjenayah melakukan perkara tersebut bukan disebabkan Thailand benarkan ganja, malahan telah berlaku sejak sekian lama dan selagi mana dadah adalah musuh nombor satu negara, kita akan terus melakukan penguatkuasaan berterusan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya