Trauma bah 2021 jadikan penduduk Taman Sri Muda lebih peka -

Trauma bah 2021 jadikan penduduk Taman Sri Muda lebih peka

ASUWADI Ismail menunjukkan rak besi dipasang di rumahnya pada kedudukan yang tinggi untuk menempatkan barangan keperluan bagi mengelak ditenggelami banjir sekiranya bencana itu berlaku lagi, dekat Taman Sri Muda, Seksyen 25 di Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Trauma bah pada 17 dan 18 Disember tahun lalu menjadikan penduduk di Seksyen 25 khususnya di Taman Sri Muda lebih peka dan berhati-hati apabila berdepan cuaca buruk seperti hujan dan ribut.

Malah, amaran peralihan musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka menyebabkan hujan lebat sehingga November ini serta fenomena air laut pasang besar menyebabkan penduduk bersiap sedia lebih awal untuk mengelakkan kesan buruk akibat banjir.

Menurut seorang penduduk, Asuwadi Ismail, 51, kebanyakan penduduk di sini tidak teragak-agak untuk memindahkan kenderaan masing-masing ke tempat tinggi ketika hujan turun seharian walaupun tidak lebat.

“Jiran-jiran dan kebanyakan penduduk di sini memang mengeluh dengan kerugian dialami mereka lebih-lebih lagi kerosakan kenderaan yang perlu dihadapi. Saya sendiri habis kira-kira RM4,000 bagi membaiki dua kereta. Itu sedikit, ada orang lain kena lebih mahal ikut jenis kereta.

“Saya pula, hantar salah sebuah kereta ke Terengganu menggunakan lori tunda kerana kebanyakan bengkel kereta di sekitar Lembah Klang sudah dipenuhi kenderaan mangsa banjir yang perlu dibaiki. Malah sehingga kini, terdapat beberapa buah kenderaan yang rosak masih belum dibaiki oleh pemiliknya di kawasan parkir sekitar sini,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, sejak insiden bah besar yang berlaku pada hujung tahun lalu, dia memaklumkan isterinya memang benar-benar terkesan dan trauma kerana tidak mahu kenderaan mereka rosak lagi.

Bagi persediaan lain, jelas Asuwadi lagi, dia kini hanya membeli perkakasan rumah yang tahan air sebagai langkah menghadapi banjir seperti almari besi, pintu plastik, tirai besi dan lain-lain lagi.

“Kini, saya tidak lagi beli perkakasan rumah yang diperbuat daripada kayu, mengambil iktibar apa yang berlaku pada tahun lalu. Selain itu, perkakasan yang tahan air ini harganya lebih murah berbanding perkakasan yang diperbuat kayu,” ujarnya lebih 20 tahun tinggal di sana.

Dalam tinjauan Mingguan Malaysia di kawasan perumahan tersebut, masih lagi terdapat kesan-kesan banjir yang jelas dalam dilihat seperti kesan kotoran dan lumpur pada dinding rumah dan kereta-kereta terbiar tidak dibaiki.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, 62 lokasi di sekitar daerah Klang dikenal pasti sebagai lokasi jangkaan berlaku banjir berikutan fenomena air laut pasang besar yang sedang berlaku ketika ini.

Pegawai Daerah Klang, Shahman Jalaludin memakumkan, langkah awal yang proaktif diambil sekiranya banjir berlaku seperti menubuhkan pasukan Tindak Balas Kecemasan Komuniti (CERT) sebagai pasukan respon awal untuk melakukan kerja-kerja menyelamat sekiranya terjadinya bah.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Liew Cheng Man, 64, berharap pihak bertanggungjawab dapat memberikan amaran lebih awal kepada penduduk Taman Sri Muda sekiranya banjir akan berlaku.

“Kalau mereka beri amaran lebih awal, boleh saya sekeluarga lebih cepat selamatkan diri, tidak seperti insiden tahun lalu. Apapun, saya harap banjir teruk seperti tahun lalu tidak berlaku lagi pada tahun ini,” luahnya yang tinggal lebih 30 tahun di sana. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya