TUMPAT: Setelah mendapat berota bahwa ejen jualan kosmetik Rosnazirah Mohd. Naim, 36, atau Azie,36, yang dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal di sini pada 13 September lalu telah berjaya diselamatkan, ahli keluarganya kini tertanya-tanya di mana dia berada.
Keluarga mangsa mengakui terkejut dan masih tidak percaya wanita itu berjaya ditemukan dalam selamat, namun kini mereka ingin tahu dia berada di mana.
Kakak mangsa memberitahu setakat ini, keluarganya masih tidak menerima sebarang maklumat daripada polis mengenai keadaan Azie meskipun ada yang mengatakan adiknya itu sudah berada di Malaysia.
Katanya, jika berita itu benar mereka sudah tidak sabar untuk bertemu Azie.
“Tapi tolonglah beritahu kami di mana Azie ketika ini,” ujarnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, kakak kepada Azie berkata, setakat ini, dia dan ahli keluarga lain tidak percaya Azie selamat selagi tidak bertemu mata dengan adiknya itu meskipun polis sudah mengeluarkan kenyataan malam tadi.
Menurutnya, dia sudah menerima banyak mesej dan panggilan telefon daripada saudara mara dan rakan-rakan yang memaklumkan Azie selamat sejak petang tadi.
“Bagaimanapun, kami tidak percaya kerana banyak sangat berita palsu tersebar sebelum ini. Adakah berita ini sahih?
“Setakat ini, saya masih merahsiakan berita mengenai penemuan Azi daripada ibu dan ayah kerana khuatir mereka tidak dapat tidur malam ini. Mereka pasti akan tanya Azi berada di mana dan di balai mana sedangkan saya sendiri tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi malam tadi.
Utusan Online malam tadi melaporkan, ejen jualan barangan kosmetik yang didakwa diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat sini pada 13 September lalu berjaya diselamatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sebuah lokasi di Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, susulan itu, mangsa telah dibawa pulang ke negara ini hari ini hasil bantuan pihak berkuasa negara tersebut.
Kata beliau, tujuh individu warga tempatan ditahan di sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961.-UTUSAN