MELAKA: Ketiadaan peruntukan undang-undang terhadap penggunaan vape terutama jenis pod pakai buang dalam kalangan golongan bawah umur dan pelajar sekolah menyebabkan pihak berwajib tidak dapat mengambil tindakan sewajarnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, hal ini kerana Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang turut menyentuh berkenaan penggunaan vape masih belum diluluskan di Parlimen.
“Jika RUU ini diluluskan di Parlimen adalah mudah buat kerajaan negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk bertindak dan kita mampu menyekat golongan remaja khususnya pelajar sekolah daripada memiliki vape.
“Kita hanya boleh bertindak jika vape atau pod yang dijual kepada pengguna mempunyai campuran dadah atau bahan tembakau yang melebihi daripada sukatan yang ditetapkan.
“Malah, tindakan ke atas pemilik premis yang menjual vape kepada pelajar sekolah juga boleh diambil,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia peringkat negeri di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia, mengenai trend pod pakai buang yang semakin popular dalam kalangan penghisap vape dan berpotensi mendatangkan ‘ancaman baharu’ kepada persekitaran masyarakat.
Ini kerana, jika dahulu kos untuk memiliki rokok elektronik memerlukan perbelanjaan besar sehingga ratusan ringgit, namun, kini peranti berkenaan boleh dibeli oleh semua golongan termasuk pelajar sekolah kerana dijual terlalu murah di bawah RM10 berdasarkan jumlah sedutan ditawarkan.
Perkembangan tersebut mewujudkan kebarangkalian pertambahan pengguna baru terutama kelompok bawah umur yang mana ia tidak dapat membantu mengurangkan jumlah perokok sedia ada. –UTUSAN