Tiada Ekuinoks berlaku di Malaysia hari ini - Utusan Malaysia

Tiada Ekuinoks berlaku di Malaysia hari ini

TANGKAP layar fenomena Ekuinoks pada 23 September apabila matahari berada tepat atas garisan Khatulistiwa. - Ihsan Persatuan Falak Syari Malaysia
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Fenomena Ekuinoks tidak dapat disaksikan berlaku di Malaysia tepat pada pukul 12 tengah hari tadi kerana negara ini bukan pun berada betul-betul di garisan Khatulistiwa.

Sebaliknya, menurut pakar falak terkenal tanah air, Shahrin Ahmad, kejadian pada hari ini hanya berlaku di kawasan perairan Lautan Pasifik dan berdekatan dengan Papua New Guinea.

“Fenomena tersebut berlaku pukul 12.03 tengah hari tadi di sana atau bersamaan pukul 9.03 pagi waktu Malaysia dan keadaan sebegini bukanlah luar biasa,” katanya ketika dihubungi.

Ekuinoks menyaksikan matahari terbit tepat di arah Timur Azimuth 90 darjah dan terbenam tepat di arah Barat Azimuth 270 darjah menyebabkan tempoh siang dan malam yang sama panjang.

Kejadian alamiah itu secara kelazimannya berlaku rutin dua kali setiap tahun iaitu pada 21 Mac untuk Ekuinoks kali pertama dan kemudiannya 23 September untuk Ekuinoks kali kedua.

Pada hari ini pula, fenomena unik itu diunjurkan saintis astronomi global berlaku di garisan 0 darjah dan 150 darjah Timur di sebelah arah timur laut Papua New Guinea di Lautan Pasifik.

Perbezaan masa tersebut bukannya aneh dan terjadi di seluruh dunia disebabkan oleh faktor pergerakan bumi yang mengelilingi matahari dengan paksi sudut kecondongan 23.4 darjah.

Bagi negara-negara hemisfera utara, Ekuinoks pada Mac adalah sebagai tanda bermulanya musim bunga manakala Ekuinoks pada September pula peralihan kepada musim luruh.

Keadaan sebaliknya dialami mereka yang berada di hemisfera selatan kerana Ekuinoks kali pertama dianggap permulaan musim luruh manakala Ekuinoks kedua pula musim bunga.

Mengulas lanjut, Shahrin yang juga pentadbir portal astronomi popular tempatan, Falak Online berkata, Ekuinoks di Malaysia adalah berbeza tarikh dan masa kerana kedudukan geografi.

“Ramai kalangan orang awam mungkin salah faham menyangka kejadian ini mesti berlaku tepat 12 tengah hari walhal ia ada waktu yang tertentu, namun, masih boleh dihitung,” jelasnya.

Berdasarkan kiraan, London di Britain mengalami insiden itu pukul 2.03 pagi; New York, Amerika Syarikat (9.03 malam); Tokyo, Jepun (10.03 pagi) dan Sydney, Australia (11.03 pagi).

Kali terakhir, Ekuinoks di Kuala Lumpur berlaku tepat pukul 12 tengah hari ialah 23 September 2006 lalu manakala selepas ini kejadian itu sekali lagi berlaku pada 22 September 2068.

Pada tahun lepas, Ekuinoks kali kedua direkodkan pukul 3.21 pagi dan setahun sebelum itu, kejadian ini dicatatkan 9.30 malam, manakala pada 2019 pula ialah pukul 3.50 petang. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya