PETALING JAYA: Sebuah syarikat kerjasama (JV) membabitkan Malaysia dan Thailand bakal diwujudkan di negara ini bagi menembusi industri kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu.
Pengarah Urusan Computer Forms (Malaysia) Berhad ( CFMB), Datuk Justin Lim berkata, penubuhan syarikat tersebut dibuat menerusi perjanjian bersama membabitkan Energy Absolute Thailand (EA) dengan pelaburan sebanyak RM5 bilion.
Katanya, menerusi penubuhan syarikat tersebut, industri EV mampu memastikan persekitaran lebih hijau sekali gus memenuhi aspirasi rendah karbon negara.
“Pelaburan sebanyak RM5 bilion dibuat secara berperingkat. Dalam fasa pertama, bas elektrik dalam bentuk model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand akan dibawa masuk ke negara ini pada tahun depan.Dengan kemasukan bas-bas ini, kami merancang untuk menukar kira-kira 30,000 bas sekolah di negara ini kepada bas berkuasa elektrik dalam tempoh 10 tahun.
“Untuk fasa kedua pula melibatkan pembangunan fasiliti pembuatan bateri di sini. Kami berhasrat untuk mereplikasikan kejayaan yang dicapai EA dalam mobiliti elektrik di Thailand ke negara ini,” katanya dalam sidang akhbar sempena pelancaran kerjasama berkenaan, di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa (MITEC) semalam.
Syarikat yang ditubuhkan Itu juga dijangka akan memulakan beberapa projek tenaga boleh baharu antaranya solar dan angin pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Justin berkata, penubuhan syarikat JV itu dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, dengan pegangan pada kadar 50:50 antara CFMB dan EA buat masa ini.
“Setakat ini ada pelabur berpotensi yang menyatakan hasrat untuk menjadi pegangan kecil,” ujarnya. –UTUSAN