Saya belum ada kerusi untuk bertanding - Khairy - Utusan Malaysia

Saya belum ada kerusi untuk bertanding – Khairy

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin memberitahu sehingga kini beliau  belum ada kerusi Parlimen untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Demikian jawapan Menteri Kesihatan ketika ditanya pemberita, apa yang menjadi kebimbangannya ketika ini selain isu banjir dan PRU15.

“Kebimbangan saya? Saya masih belum ada lagi kawasan untuk bertanding (pada PRU15),” katanya tanpa mengulas lanjut selepas merasmikan Konvensyen Perubatan Dermatologi dan Estetik Asia (ADAMS) di ibu negara.

Khairy tidak akan mempertahankan Rembau pada PRU15, kerusi yang disandangnya sejak 2008 bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau bagaimanapun akur dengan arahan parti walaupun mengakui tidak pernah bersedia untuk bertanding di mana-mana kawasan Parlimen lain selain Rembau.

Dalam pada itu, Khairy tetap fokus dengan tugasnya selaku Menteri Kesihatan dalam mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan masalah projek ‘sakit’ melibatkan pembangunan fasiliti kesihatan di negara ini dengan pemantauan rapi kemajuan projek setiap bulan.

Katanya, pemantauan serius dilakukan terhadap perkembangan 13 projek ‘sakit’ yang melibatkan klinik kesihatan, hospital dan kuarters menerusi pasukan bertindak khas.

“Projek-projek ini jumlahnya akan turun naik setiap bulan, tetapi yang penting setiap bulan saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan di peringkat kementerian untuk memastikan pemantauan dengan lebih rapi dilakukan.

“Sebagai contoh, kita berdepan beberapa projek sakit antaranya Hospital Papar di Sabah, iaitu satu projek yang ada kelewatan (pembinaan) tetapi dengan langkah diambil oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kerja Raya berjaya mengurangkan kelewatan itu,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyifatkan penaiktarafan Hospital Rembau sebagai hadiah terakhir beliau selaku Ahli Parlimen Rembau dengan menambah sebuah lagi dewan bedah di hospital itu yang dilengkapi dengan mesin imbasan CT (tomografi berkomputer) dengan kos RM9 juta.

Beliau juga bersetuju membekalkan perkhidmatan Wi-Fi percuma kepada pelanggan di semua hospital di seluruh negara dengan menjadikan Hospital Rembau sebagai permulaan selain berusaha untuk menurunkan waktu menunggu di semua fasiliti kesihatan di negara ini.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya