Sambut merdeka, tonton aksi perahu layar di Tanjung Bidara

Sambut merdeka, tonton aksi perahu layar di Tanjung Bidara

ORANG ramai mengambil gambar dan video aksi 15 atlet perahu layur mengibarkan Jalur Gemilang di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Suasana di Pantai Tanjung Bidara, Masjid Tanah di sini meriah dengan kehadiran seramai 15 atlet perahu layar mengibarkan Jalur Gemilang di lautan selama satu jam.

Program Layar Merdeka dianjurkan Persatuan Pelayaran Negeri Melaka (Messa) itu dilaksanakan sempena Hari Kebangsaan Ke-65 semalam.

Komander Messa, Ong Tai Chu berkata, aktiviti itu melibatkan atlet berusia 13 hingga 18 tahun yang memulakan perjalanan dari Pengkalan Balak hingga ke Tanjung Bidara.

“Hari ini pengunjung berpeluang menyaksikan Jalur Gemilang dikibarkan di sepanjang pantai dengan jarak lebih lima kilometer. Secara tidak langsung program seperti ini juga dapat mempromosikan sukan pelayaran kepada orang ramai,” katanya pada sidang akhbar.

Program yang bermula sejak pukul 9.30 pagi itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Duyong, Mohd. Helmy Abdul Halim selaku bapa angkat kepada Kontinjen Melaka ke Sukan Malaysia (Sukma) bagi sukan pelayaran.

Seorang penonton dari Bangi, Selangor, Shuhairi Mohd. Rawi, 45, berkata, penganjuran sedemikian merupakan pengalaman kali pertama bagi dirinya melihat sambutan seumpama itu melibatkan aktiviti perahu layar. 

“Sambutan di sini memang berbeza dengan keadaan lazim hari kemerdekaan, kebiasaannya kita akan melihat perbarisan. 

“Namun, sekiranya program seperti ini diuar-uarkan lebih awal, saya yakin sambutan yang diterima akan lebih meriah malah mungkin pengunjung berkemahiran juga boleh menyertai kibaran Jalur Gemilang itu,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Norlela Maarif, 50, berkata, dia langsung tidak menyangka kedatangan ke pantai itu bersama ahli keluarga disambut dengan aksi perahu layar secara dekat. 

“Sampai sahaja kami nampak sekumpulan perahu layar sedang mengibar Jalur Gemilang, saya pun teruslah ambil peluang merakamkan detik itu menggunakan telefon kerana bukan selalu berpeluang lihat sukan ini secara langsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya