SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan melupuskan pelbagai dadah bernilai RM720,680 yang telah selesai perbicaraan membabitkan 2,531 kertas siasatan sejak bulan Januari hingga Ogos 2022.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Deputi Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, sembilan jenis dadah termasuk daun ketum dan air ketum yang masih tersimpan di stor barang kes bahagian narkotik.
“Dadah yang dilupuskan ialah 11 kilogram heroin bernilai RM147,000, ganja sembilan kilogram (RM22,500), metamphetamine (syabu) lapan kilogram (RM288,000), ketamin 158 gram (RM23,700), erimin 5 seberat 2.5 kilogram (RM187,500) dan pil ecstasy 135 gram (RM6,750).
“Turut dilupuskan daun ketum 1,600 kilogram (RM16,000), air ketum 2,753 liter (RM2,7530) dan kodein 13 liter (RM1,300),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir berkata, bagi tahun 2022 prestasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan dalam tempoh Januari hingga Ogos, secara keseluruhannya berjaya menahan 549 orang pengedar dadah.
“Selain itu, sebanyak 1,350 tangkapan atas kesalahan pemilikan dadah dan 2,437 individu atas kesalahan penyalahgunaan bahan berbahaya itu manakala jumlah nilai anggaran sitaan bagi tempoh sama membabitkan aset pengedar adalah berjumlah lebih RM8 juta,” katanya.
Jelas Ahmad Dzaffir, JSJN Negeri Sembilan amat serius dalam misi membanteras dadah habis-habisan dengan memfokuskan tangkapan terhadap pengedah dadah yang aktif dan melumpuhkan ekonomi mereka dengan menyita aset yang dimiliki melalui aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya JSJN memohon kerjasama masyarakat untuk membantu menyalurkan maklumat dalam usaha untuk menghapuskan dadah di negeri ini.
“PDRM juga menasihatkan kepada masyarakat supaya lebih prihatin dengan keadaan sekeliling dalam mencegah sebarang kesalahan atau kegiatan dadah,” katanya. –UTUSAN