PUTRAJAYA: Penambahbaikan dan baik pulih fasiliti kesihatan berjumlah RM791.5 juta merupakan antara enam cadangan Kementerian Kesihatan dalam permohonan insentif baharu berjumlah RM3.4 bilion tahun depan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, permohonan itu sudah dibentangkan pada sesi libat urus bersama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Ogos lalu.
Selain itu, katanya, antara cadangan lain pengukuhan program penjagaan kesihatan dengan kos RM738 juta dan meningkatkan keberkesanan rawatan kesihatan berjumlah RM850 juta.
“Inisiatif keempat adalah penggantian aset perubatan yang kritikal dan usang dengan kos RM400 juta; pendigitalan perkhidmatan kesihatan (RM460 juta) dan insentif penghargaan anggota kesihatan (RM183 juta),” katanya pada sesi temu bual khas pencapaiannya selama setahun sebagai Menteri, Kesihatan di sini.
Katanya, pihaknya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Tengku Zafrul serta rakyat Malaysia kerana menyokong cadangan meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan kepada 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding peruntukan sedia ada pada kadar 2.10 peratus.
Khairy berkata, permohonan itu rasional dalam menawarkan perkhidmatan untuk memelihara rakyat Malaysia supaya sentiasa sihat dan merawat mereka yang sakit pada tahap terbaik.
Menurutnya, permohonan ini bukan bermakna hendak terus dilaksanakan tahun hadapan sebaliknya ia mungkin mengambil masa dalam tempoh lima tahun
“Kita faham kedudukan kewangan negara namun, inisiatif itu boleh dilaksanakan termasuk melalui peningkatan kutipan hasil atau merasionalkan semula peruntukan terutama subsidi petroleum kepada golongan sasar.
“Jika ia dapat dilaksanakan tentu terdapat lebihan untuk diagihkan semula kepada sektor kesihatan awam,” katanya.
Jelasnya, perkhidmatan kesihatan yang baik boleh dicapai sekiranya kemudahan serta prasarana kesihatan ditambah baik dan berfungsi dengan baik.
Khairy berkata, sebanyak 2,732 fasiliti kesihatan awam berada dalam keadaan usang dan daif khususnya di luar bandar namun, masih beroperasi untuk memberi perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. – UTUSAN