Rasuah: Pegawai tadbir dan diplomatik mengaku tidak bersalah -

Rasuah: Pegawai tadbir dan diplomatik mengaku tidak bersalah

MOHD. Asraf Redzuan yang merupakan seorang pegawai tadbir dan diplomatik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan meminta dan menerima suapan pada 2020 dan 2021, di Shah Alam, Selangor, hari ini. -UTUSAN/ ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang penjawat awam ketika dituduh di Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu bahawa kesalahan meminta atau menerima rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang merupakan seorang pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) berusia 39 tahun itu mengangguk faham selepas mendengar penjelasan daripada Hakim Rozilah Salleh dalam prosidingnya, namun, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan jurubahasa pada awal prosiding berkenaan.

Dalam pertuduhan pertama, Mohd. Asraf Redzuan dituduh secara rasuah menerima dan meminta suapan sebanyak RM5,000 sebagai upah untuk membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja menurap semula dua lorong dekat Kampung 10, Kebun Baru, Kuala Langat yang bernilai RM95,362.80.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Pentadbiran, Dewan Syarahan dan Muzakarah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 11 November 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM2,000 pada 24 Februari 2021 daripada syarikat sama dekat sebuah cawangan bank di Seksyen 14, di sini untuk kerja-kerja tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM ketika beliau bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat.

Jika sabit kesalahan, Mohd. Asraf yang kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pegawai Daerah di PDT Sepang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Bagaimanapun, Rozilah menggunakan budi bicaranya membenarkan bapa kepada empat orang anak itu diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas pihak pendakwaan menawarkan jaminan sedemikian.

Jumlah tersebut diberikan selepas mahkamah menolak permohonan pengurangan jaminan daripada peguam, Nik Muammer Hurrie Muhamad Sukri yang mewakili Mohd. Asraf dengan alasan anak-anak tertuduh masih kecil, tiga daripadanya berumur tujuh, lima dan dua tahun,  sementara yang bongsu baru berusia enam bulan.

Hakim turut menetapkan tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berdekatan pada minggu pertama setiap bulan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah seperti ditawarkan Pegawai Pendakwa, Mohd. Aliff Shaharuzaman.

Rozilah kemudian menetapkan sebutan semula kes dan penyerahan dokumen pada 14 Oktober. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya