Program Visa Premium Malaysia dibuka permohonan 1 Oktober ini - Hamzah -

Program Visa Premium Malaysia dibuka permohonan 1 Oktober ini – Hamzah

HAMZAH Zainudin bercakap dalam sidang akhbar program Visa Premium Malaysia di Kementerian Dalam Negeri, di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 1,000 peserta bagi tahun pertama Program Visa Premium (PVIP) Malaysia yang akan dibuka untuk permohonan mulai 1 Oktober depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jumlah penyertaaan itu sekali gus menjana kutipan hasil sebanyak RM200 juta dan simpanan tetap sehingga RM1 bilion kepada kerajaan.

Beliau berkata, pihaknya yakin PVIP Malaysia mampu menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) kepada negara dan meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. 

“Di samping itu, permintaan mata wang Ringgit Malaysia juga akan meningkat dan nilainya akan mengukuh berbanding mata wang negara asing menerusi pengenalan program itu.

“Program ini adalah yang pertama seumpamanya diperkenalkan oleh kerajaan, malah, konsep sama turut dilaksanakan di beberapa negara lain termasuk Thailand, Singapura dan Portugal,” katanya dalam sidang akhbar mengenai PVIP Malaysia di sini, hari ini.

Katanya, program ini dipersetujui oleh Kabinet pada 17 Ogos lalu iaitu satu program baharu yang berkonsepkan Residensi Melalui Pelaburan khusus bagi memacu pertumbuhan ekonomi, menjana hasil pendapatan negara dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Hamzah berkata, PVIP Malaysia disasarkan kepada hartawan global dari semua negara asing, kecuali Israel dan negara-negara yang tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia malah, peserta program ini tidak layak memohon atau menukar taraf kepada Warganegara Malaysia.

Menurutnya, pihaknya meletakkan 15 syarat utama bagi permohonan program itu termasuk tiada had umur peserta, menyertakan bukti pendapatan (offshore income) sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan atau RM480,000 secara tahunan selain pemilikan akaun simpanan tetap sekurang-kurangnya RM1,000,000 dan tiada pengeluaran dibenarkan ke atas nilai prinsipal.

“Pengeluaran sebanyak 50 peratus  daripada nilai prinsipal dibenarkan selepas setahun menyertai program ini bagi tujuan pembelian hartanah, kesihatan dan pendidikan.

“Peserta juga dibenarkan membawa tanggungan seperti pasangan, anak-anak, ibu bapa dan ibu bapa mertua termasuk dibenarkan untuk membawa pembantu rumah asing.

“Kesemua tanggungan yang menyertai program ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat penyertaan yang berkaitan dan Peraturan-Peraturan Imigresen yang berkuat kuasa.

“Kerajaan juga mengenakan fi penyertaan RM200,000 dikenakan secara one-off untuk prinsipal dan RM100,000 bagi setiap tanggungan selain fi pas sebanyak RM2,000 setahun.

Katanya, kelulusan PVIP Malaysia ini adalah untuk tempoh 20 tahun dan diberikan dengan kaedah 5+5+5+5 tahun malah, peserta juga perlu memiliki perlindungan insurans kesihatan yang sah di Malaysia.

Jelasnya lagi, permohonan bagi menyertai PVIP Malaysia akan diterima dan diproses oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan diteliti serta diperhalusi oleh Jawatankuasa Kelulusan untuk pertimbangan sebelum diberikan keputusan.

Hamzah berkata, peserta program juga dibenarkan untuk menikmati kebenaran belajar, membeli hartanah (mengikut dasar pihak berkuasa negeri) seperti bangunan kediaman, bangunan perdagangan industri dan membuat pelaburan secara aktif dalam bidang-bidang yang dibenarkan. 

“Selain itu, peserta program juga dibenarkan untuk bekerja dan menjalankan aktiviti perniagaan yang sah mengikut undang-undang negara,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya