KUALA TERENGGANU: Pencapaian 100 peratus kadar kebolehpasaran graduan interim tahun 2022 bagi Politeknik Kuala Terengganu membuktikan graduan latihan teknikal dan vokasional (TVET) laris di pasaran kerja dalam dan luar negara.
Pengarah Bahagian Kurikulum, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Norhayati Zakaria berkata, sehubungan itu, pihaknya akan terus memperkasakan bidang kemahiran sebagai salah satu daripada 14 pemacu perubahan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).
“Tumpuan harus diberikan dalam usaha mengukuhkan teknologi pendigitalan demi penyediaan pasaran kerja tenaga berkemahiran tinggi dan separa mahir untuk masa hadapan.
“Kita juga akan mengukuhkan jaringan kolaborasi dengan pihak industri agar dapat melestarikan ekosistem TVET negara dan seterusnya menjadikan Politeknik dan Kolej Komuniti sebagai sebuah institusi TVET yang unggul di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Konvokesyen Politeknik Kuala Terengganu kali ke 19 bertemakan ‘Graduan PKT Memperkasa Revolusi Industri 4.0’ di sini, semalam.
Seramai 446 orang graduan Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dari sesi Jun 2019 hingga Sesi 1 bagi tahun 2021/2022 menerima skrol diploma masing-masing.
Tambahnya, JPPKK sebagai sebuah jabatan yang menguruskan pendidikan dan TVET di bawah Kementerian Pengajian Tinggi kini mempunyai 36 buah Politeknik dan 105 buah Kolej Komuniti di seluruh Malaysia.
“JPPKK menjadi penyumbang terbesar kepada keperluan guna tenaga TVET dalam negara. Misi utama kami adalah untuk melahirkan graduan holistik berciri keusahawanan dan seimbang.
“Sehingga kini jumlah graduan Politeknik dan Kolej Komuniti hampir satu juta orang dengan kekuatan pensyarah melebihi 10,000 orang.
“Keluarga besar ini menempa kejayaan demi kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa dalam pelbagai aspek oleh pelajar, pensyarah serta institusi sendiri yang diharap akan terus cemerlang dalam bidang TVET di peringkat antarabangsa,” katanya. –UTUSAN