PUTRAJAYA: Dikejutkan dari tidur, diikat jari sebelum disamun. Itu detik mencemaskan dihadapi sebuah keluarga apabila kediaman mereka di Presint 9, di sini dipecah masuk tiga lelaki dipercayai warga asing bersenjatakan parang dan kayu dalam satu kejadian samun awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun dikejutkan daripada tidur oleh tiga lelaki tidak dikenali dipercayai warga Indonesia.
Katanya, salah seorang suspek kemudiannya bertindak mengikat jari mangsa menggunakan pengikat kabel.
Ibu dan bapa mangsa yang tinggal bersama turut menjadi mangsa apabila mereka telah terlebih dahulu diikat tangan menggunakan dawai berwarna hijau.
“Suspek telah mengambil dompet si bapa, dua utas gelang milik ibu mangsa, seutas rantai milik anak mangsa serta wang tunai berjumlah RM500 menjadikan jumlah keseluruhan dianggarkan sebanyak RM5,000,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Asmadi berkata, siasatan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga suspek bersenjatakan dua bilah parang dan sebatang kayu berukuran lebih kurang 15 sentimeter telah mengumpil pintu gelangsar rumah mangsa kira-kira pukul 3.52 pagi.
Jelasnya, mangsa bekerja di sebuah syarikat pengawal keselamatan dan ketika kejadian isterinya tiada di rumah kerana menjalani kursus di Tasik Kenyir, Pahang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek telah masuk ke rumah mangsa melalui arah belakang rumah jirannya.
“Mangsa memaklumkan bahawa kesemua suspek memakai topeng ski, sarung tangan, berpakaian gelap selain berkasut getah dan pihak polis mendapatkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di rumah mangsa serta jiran-jiran untuk diteliti bagi membantu siasatan,” katanya.
Tambah A. Asmadi, siasatan berhubung kejadian masih diteruskan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan serta Seksyen 397 kanun sama dan operasi bersepadu pencegahan juga rondaan yang sebelum ini ditumpukan di Presint 11, Putrajaya diperhebatkan.
Tegas beliau, operasi menjejaki kesemua suspek akan berjalan sehingga mereka yang terlibat berjaya ditumpaskan.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya kini sedang bertungkus-lumus mengesan suspek selain mendapat kerjasama baik daripada penduduk yang mula mengaktifkan inisiatif Skim Rondaan Sukarela mereka bagi membantu pihak polis.
“Penghuni perumahan diingatkan agar terus berwaspada dan pastikan pintu tingkap serta grill gelengsar berkunci baik. Tambah baik ciri keselamatan termasuk kualiti kunci mangga, sedia grill, sediakan CCTV, sensor penggera juga buka lampu belakang dan sisi rumah,” pesan beliau. –UTUSAN