ARAU: Menikmati suasana sebenar di kampung selepas musim menuai. Suasana itu dapat dirasai oleh penduduk yang menyertai Pesta Bendang Guar Sanji yang berlangsung meriah di Kampung Tebuk di sini hari ini.
Pelbagai aktiviti menarik diadakan dalam program yang bermula pukul 8 pagi itu seperti acara larian bendang, gagau ikan, tangkap itik, tarik tali dan pelbagai lagi.
Terpancar wajah kegembiraan dan keterujaan khususnya dalam kalangan kanak-kanak yang berpeluang menyertai aktiviti di dalam bendang tersebut.
Program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Guar Sanji yang turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan berkenaan, Mohd. Ridzuan Hashim
Seorang peserta, Mohammad Naufal Mohd Hairul Hafiz, 17, berkata, dia teruja mengikuti acara itu memandangkan pada masa kini, tidak banyak pengisian program yang menampilkan aktiviti-aktiviti kampung.
“Program seperti ini sememangnya memberi keterujaan kepada peserta kerana mereka dapat merasai pengalaman menyertai aktiviti sukan kampung di dalam bendang yang kian dilupakan generasi pada masa kini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, di dalam zaman serba moden ini, aktiviti sedemikian masih dekat di hati masyarakat khususnya penduduk kampung.
“Aktiviti sebegini perlu diperbanyakkan lagi bagi memastikan ia tidak lapuk ditelan zaman khususnya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Seorang peserta larian bendang, Mohd Daim Qayyum Hasbullah,10, pula berkata, walaupun terpaksa bermain dengan selut, namun, aktiviti berkenaan sangat memberi keterujaan kepadanya bagi turut sama dalam program tersebut.
Katanya, dia tidak kekok untuk turut serta dalam aktiviti berkenaan memandangkan sebelum ini pernah bermain di dalam bendang bersama rakan-rakan.
“Walaupun sukar untuk lari di dalam bendang disebabkan selut dan air, namun saya sangat teruja dengan aktiviti dianjurkan ini,” katanya. –UTUSAN