KUALA TERENGGANU: Sebanyak lapan kenderaan menyertai pertandingan kenderaan berhias sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Batu Buruk, di sini malam tadi.
Lapan kenderaan berhias itu mewakili Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman.
Selain itu, perarakan beca daripada 16 anak syarikat kerajaan negeri termasuk Jabatan Pelancongan negeri juga diadakan bagi memeriahkan pertandingan tersebut.
Perarakan kenderaan berhias dan beca berhias sejauh 3.2 kilometer itu bermula dari Dataran Shahbandar di sini.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Keberangkatan tiba kedua-dua baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan serta barisan ahli exco yang lain.
Rakyat Terengganu mula membanjiri bahu jalan sepanjang perarakan tersebut pada seawal pukul 6.30 petang bagi menyaksikan keunikan yang dihasilkan semua peserta pada kali ini.
Pertandingan kenderaan berhias itu yang kali terakhir diadakan pada 2015 bertujuan menonjolkan keistimewaan produk di daerah dan agensi yang ada di Terengganu melalui perhiasan di kenderaan dan beca.
Sementara itu, daerah Kemaman muncul juara pertandingan tersebut dengan membawa pulang hadiah RM20,000, piala dan sijil penyertaan.
Tempat kedua pula dimenangi oleh daerah Dungun dengan membawa pulang hadiah RM15,000, piala dan sijil penyertaan manakala tempat ketiga dimenangi oleh Daerah Kuala Nerus dengan hadiah RM10,000, piala dan sijil penyertaan.
Bagi kategori beca, johan dirangkul oleh Paya Bunga Hotel yang membawa pulang hadiah RM5,000, piala dan sijil penyertaan manakala tempat kedua dimenangi oleh Duyong Marina Resort (RM4,000) dan tempat ketiga jatuh kepada PMINT Urus Sdn Bhd (RM3,000). –UTUSAN