KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Datin Seri Rosmah Mansor agar beliau menarik diri daripada prosiding kes rasuah projek solar hibrid.
Beliau menegaskan bahawa deraf penghakiman yang dipertikaikan oleh isteri bekas Perdana Menteri, bukan pandangan beliau dan bukan disediakan atas arahannya.
Hakim Mohamed Zaini menyatakan, beliau tidak pernah menerima arahan ketika menyediakan mana-mana penghakiman, sebaliknya keputusan dan alasan penghakiman kes ditulisnya sendiri.
Ujarnya, beliau juga tidak membaca pendapat yang dinyatakan dalam deraf penghakiman tersebut dan ia juga tidak disediakan untuk beliau.
“Saya telah menulis daripada 200 penghakiman. Ramai tidak sedar betapa sukarnya tugas sebagai pegawai kehakiman.
“Kami bukan mencari populariti, namun, bertugas untuk mencari keadilan dan kebenaran,” ujar Hakim Mohamed Zaini.
Sejurus kemudian, beliau menyampaikan keputusan dan mensabitkan Rosmah terhadap ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Permohonan tersebut yang difailkan pada saat-saat akhir merupakan percubaan terbaharu Rosmah untuk menangguhkan keputusan akhir kesnya selepas tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, tidak dibenarkan kelmarin.
Dalam notis usul yang juga difailkan kelmarin dan afidavit sokongan yang diikrarkannya, Rosmah meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular di media sosial. –UTUSAN