Perhilitan selamatkan beruang matahari - Utusan Malaysia

Perhilitan selamatkan beruang matahari

BERUANG matahari jantan yang ditangkap Perhilitan Selangor sebelum akan dilepaskan semula ke habitat asal, dekat Parit 13 Sungai Nibong di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Seekor beruang matahari yang berkeliaran di sawah padi Ban Canal, Parit 13 Sungai Nibong di sini, hujung bulan lalu berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), hari ini.

Beruang jantan dewasa itu ditangkap di sekitar Parit 12, kira-kira pukul 2 pagi selepas operasi menyelamat beruang itu yang digerakkan bersama Pusat Menyelamat Hidupan Liar Sungkai (NWRC).

Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya sebelum ini menjalankan pemantauan harian susulan aduan awam mengenai haiwan tersebut.

“Perhilitan Sabak Bernam membuat rondaan dan menemui seekor beruang di dalam kawasan kebun ubi. 

“Penjejakan kemudian diteruskan dan menjumpai kesan umbut kelapa yang musnah dipercayai akibat perbuatan haiwan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau, tembakan pelali ke atas beruang itu berjaya dilakukan pihaknya, kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Doktor Veterinar Perhilitan kemudian melakukan pemeriksaan morfologi dan kesihatan haiwan itu. Beruang berkenaan didapati  sihat,” ujarnya.

Kata beliau, beruang itu kemudian dipindahkan ke Pejabat Perhilitan bagi persiapan dan persediaan pelepasan semula ke habitat asal. 

Pada 29 Ogos lalu, seekor beruang menimbulkan kegemparan dalam kalangan penduduk apabila berkeliaran di sawah padi kawasan Parit 13.

Kejadian pukul 7 pagi itu disedari seorang wanita yang merakam video pergerakan haiwan berkenaan di belakang rumahnya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya