REMBAU: Penduduk di Taman Seri Rembau di sini dan kawasan berhampiran kini berasa bimbang dengan ancaman babi hutan yang dilihat semakin menjadi-jadi
Seorang penduduk yang ditemui Rosnani Jamalludin, 37, berkata, dia sudah menetap di kawasan itu sejak tahun 1998, namun masalah babi hutan berkeliaran serta merosakkan tanaman penduduk semakin memburuk sejak tahun 2010.
Namun, sehingga kini, tiada tindakan yang diambil oleh pihak bertanggungjawab bagi mengatasi masalah berkenaan.
Menurutnya, antara faktor menjadi punca kepada isu babi hutan berkeliaran adalah penerokaan kawasan belukar bagi memberi laluan pembinaan projek perumahan baharu.
“Masalah babi hutan ini juga menyebabkan pagar di beberapa bahagian rumah saya rosak disondol haiwan liar ini. Ia mengundang bahaya kepada penduduk kerana haiwan ini agresif dan saiznya juga besar.
“Pernah pada penghujung tahun lalu, seekor babi hutan seberat lebih 50 kilogram mati di belakang rumahnya dan penduduk terpaksa bersama-sama menanam bangkai binatang tersebut,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Rembau, di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Hazri Hassan, 43, berkata, disebabkan masalah babi hutan yang terlalu banyak itu juga dia tidak dapat menanam sayur-sayuran di rumahnya.
“Kumpulan babi hutan ini kebiasaannya akan muncul pada lewat petang dan turut merosakkan tanaman penduduk.
“Saya harap sangat agar pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat ambil tindakan segera.
“Sebelum ini terdapat kes warga emas cedera digigit beruk, saya harap kejadian tidak berulang dan membabitkan babi hutan pula,” katanya. –UTUSAN