Penduduk Taman Megah bimbang banjir lumpur berulang - Utusan Malaysia

Penduduk Taman Megah bimbang banjir lumpur berulang

KEADAAN aliran air bertanah yang berlaku di Taman Megah di Kluang selepas hujan lebat petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Kebimbangan penduduk Taman Megah dekat sini  mengenai aliran lumpur yang didakwa berpunca daripada aktiviti  menggondolkan kaki Gunung Lambak menjadi kenyataan semalam apabila kawasan perumahan itu dilanda banjir lumpur.

Dengan tempoh tidak sampai satu jam hujan lebat, kawasan perumahan yang terletak kira-kira 200 meter dari lereng bukit dipenuhi air bercampur tanah.

Penduduk Taman Megah, Azizi Rahman, 55, berkata, sejak keluarganya tinggal di penempatan itu lebih 10 tahun lalu kejadian tersebut tidak pernah berlaku.

Bagaimanapun, kata Azizi, semalam  mereka bukan sahaja terpaksa membersihkan kawasan halaman rumah yang dimasuki air berlumpur, malah turut bimbang kejadian sama  akan berulang.

“Justeru, kami mengharapkan satu tindakan drastik dilakukan bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Semua sedia maklum, hanya beberapa bulan lagi akan memasuki musim tengkujuh, manakala fenomena La Nina yang berlaku sekarang akan menyebabkan hujan dalam jumlah lebih banyak daripada sebelum ini,” katanya.

Katanya, pihaknya tidak mempersoalkan mengenai projek pertanian namun sepatutnya ia tidak boleh terletak berhampiran dengan kediaman penduduk.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kluang, Datuk Md. Jais Sarday berkata, hasil semakan pihaknya mendapati tanan seluas 85 ekar itu dikurniakan kepada tiga individu pada tahun 1968.

Ketiga-tiga individu berkenaan kemudian menjual lot tanah berkenaan kepada sebuah syarikat sebelum penebangan pokok dilakukan untuk mengusahakan tanaman durian Musang King.

Oleh itu, kata Md. Jais berkata, pihaknya akan meminta  tiga jabatan  iaitu Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Perhutanan supaya mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu mengatasi masalah kacau ganggu aliran air bertanah di Taman Megah.

Menurut Md. Jais, kebimbangan terhadap aliran air bertanah yang disuarakan penduduk ada asasnya dan sudah pun berlaku walaupun hujan lebat hanya dalam tempoh yang singkat.

“Bayangkan sekiranya berlaku hujan berpanjangan seperti kebiasaan pada musim tengkujuh, pasti kejadian aliran air bertanah ini akan lebih banyak lagi,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya