Penduduk, pelancong mahu Wet World Air Panas Pedas dibuka

Penduduk, pelancong mahu Wet World Air Panas Pedas dibuka semula

ANTARA peralatan permainan di taman tema air, Wet World Air Panas Resort di Pedas, Rembau yang usang dan terbiar sejak pelaksanaan PKP ekoran pandemik Covid-19 yang lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Taman tema air, Wet World Air Panas Resort di Pedas di sini merupakan antara lokasi popular dalam kalangan penduduk Negeri Sembilan terutama pada cuti hujung minggu dan cuti persekolahan.

Bagaimanapun, taman tema yang terkenal kerana mempunyai kolam air panas semula jadi itu kini terbiar dan suram gara-gara Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan ekoran pandemik Covid-19.

Salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran memberitahu, Wet World Air Panas Resort menerima tempias daripada pelaksanaan PKP dan sehingga kini, walaupun negara dalam proses peralihan endemik, ia masih belum dibuka.

Jelasnya, lebih menyedihkan, kawasan itu yang dahulunya meriah dan dipenuhi pengunjung, namun, kini, terbiar dan penuh pula dengan semak samun.

“Dahulu, taman tema ini menawarkan lebih 30 peluang pekerjaan tentunya kepada penduduk sekitar. Namun, kini tidak lagi.

“Oleh itu, besar harapan penduduk agar tempat ini dapat dihidupkan semula dan semua pihak dapat manfaat termasuk penduduk kampung yang menerima limpahan ekonominya sebelum ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Rembau (MDR) merangkap Pegawai Daerah Rembau, Mohamad Najib Mustafa ketika dihubungi memberitahu, kerajaan Negeri Sembilan kini sedang berbincang dengan pengusaha taman tema untuk mencari jalan penyelesaian terbaik buat kedua-dua pihak.

Menurutnya, perbincangan tersebut sudah dilaksanakan sejak lebih dua bulan lalu dan menunggu untuk satu keputusan serta persefahaman yang akan diumumkan secara rasmi.

“Tempat ini merupakan antara tarikan utama di daerah Rembau sebelum ini dan sudah tentu kami akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi menghidupkannya semula melalui perbincangan dengan pengusaha,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris berkata, kerajaan negeri perlu memainkan peranan untuk berbincang dengan pihak pengusaha supaya taman tema itu boleh beroperasi semula.

“Sektor pelancongan merupakan sektor paling terjejas semasa Covid-19, jadi kerajaan negeri perlu tawarkan apa juga bentuk bantuan dan sokongan agar taman tema air ini boleh kembali dikunjungi oleh orang ramai,” katanya.

Sementara itu, walaupun dalam keadaan terbiar, terdapat pengawal keselamatan yang ditempatkan di situ dipercayai oleh syarikat pengusaha taman tema berkenaan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya