Pemuda sakit buah pinggang kronik  perlu bantuan - Utusan Malaysia

Pemuda sakit buah pinggang kronik  perlu bantuan

HASIL pemeriksaan buah pinggang Muhammad Faiz Fahmi Mohd. Zulkifli di hospital yang menunjukkan terdapat perubahan dari segi saiznya. - UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pemuda tidak menyangka, sakit kepala luar biasa dialaminya beberapa bulan lalu rupanya akibat penyakit buah pinggang tahap lima.

Muhammad Faiz Fahmi Mohd. Zulkifli, 21, berkata, dia disahkan mengidap penyakit itu, pada Jun lalu selepas diberitahu oleh doktor yang memeriksanya.

“Hampir seminggu saya  sakit kepala dan muntah-muntah… walaupun telah menelan ubat tahan sakit namun tidak reda. Saya ke klinik berhampiran rumah dan mendapati tekanan darah tinggi naik mendadak sehingga 199/135.

“Pemeriksaan awal, pihak klinik memberitahu saya dipercayai mengidap sakit buah pinggang kerana mendapati saiz sebelah buah pinggang kelihatan tidak normal… namun untuk mendapatkan keputusan tepat saya ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), sebelum saya disahkan mengalami masalah buah pinggang tahap lima bagi kedua-duanya,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Balok Permai di sini hari ini.

Doktor kemudian menyarankan dia menjalani dialisis tiga kali seminggu dan mengambil ubat darah tinggi.

Muhammad Faiz berkata, kesihatannya jatuh mendadak ketika sedang bekerja di sebuah kilang di Gebeng, dan mulanya dia menganggap disebabkan baharu bertukar kerja.

Sementara itu, bapanya, Mohd. Zulkifli Ismail, 47, tidak menyangka Muhammad Faiz yang sebelum ini sihat dan aktif sudah tidak mampu bekerja.

Kata, dia yang  diberhentikan kerja Julai lalu, kini mampu menampung perbelanjaan keluarga dan rawatan anaknya menggunakan duit pampasan selain tabungan selama dia berkerja.

“Kini, Muhammad Faiz diberi tempoh sebulan sebelum mula mendapatkan rawatan dialisis yang disarankan pihak hospital… Saya memang inginkan rawatan terbaik diberikan kepada anak saya. 

“Saya diberitahu jika mahu mendapatkan rawatan dialisis, Muhammad Faiz perlu membuat pembedahan tapak dialisis terlebih dahulu yang memerlukan kos sekitar RM4,000 tidak termasuk rawatan susulan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun 8881033856677 (Ambank) atas nama Muhammad Faiz Fahmi Mohd. Zulkifli atau menghubungi talian 012-9639040.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN