Pemilik bimbang kes curi motosikal di parkir KTMB -

Pemilik bimbang kes curi motosikal di parkir KTMB

MOTOSIKAL yang diparkir tanpa pengawasan mengundang perkara tidak diingini terutama kes kecurian di di stesen KTMB Sungai Petani di Jalan Pasar, di sini. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Orang ramai yang meletak kenderaan mereka bagi menggunakan perkhidmatan kereta api di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Sungai Petani dan Gurun, di sini bimbang dengan kes kecurian motosikal yang didapati semakin menjadi-jadi.

Kebimbangan mereka menjadi mangsa seterusnya tidak dapat dibendung berikutan pintu masuk di tempat parkir di situ tidak lagi menempatkan pengawal keselamatan selain tiada pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

Seorang pemilik motosikal, Mohd. Dahari Mat Taib, 38, berkata, dia menggunakan pengangkutan awam di situ sejak hampir setahun lalu untuk berulang alik ke tempat kerjanya di Alor Setar.

“Menggunakan perkhidmatan KTMB ini memang menjimatkan belanja dan tidak memenatkan berbanding menunggang motosikal atau memandu kereta ke Alor Setar setiap hari untuk bekerja.

“Walaupun saya hanya tinggalkan motosikal kira-kira 12 jam sehari dan mengambil langkah keselamatan dengan memasang kunci tambahan, tetapi saya sentiasa bimbang motosikal itu boleh dicuri bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi pemilik, Jauhari Sabtu, 45, yang menggunakan tren seawal pagi ke tempat kerjanya di Butterworth, Pulau Pinang turut tidak sedap hati setiap kali meninggalkan motosikal jenis Honda EX5 miliknya di tempat parkir stesen KTMB Sungai Petani.

“Memang takut dan bimbang menyelubungi diri terutamanya jika terpaksa meninggalkan motosikal melebihi jangkaan selepas perlu melakukan kerja lebih masa, saya harap pihak pengurusan dapat membuat tindakan pencegahan daripada kejadian ini daripada terus berlaku,” katanya.

Sementara itu, Seorang pekerja pembersihan di stesen itu, Farid Ramli, 28, berkata, dia sering mendengar keluhan pemilik motosikal di situ yang bimbang kehilangan kenderaan mereka kerana kurangnya pengawasan keselamatan.

“Daripada apa yang diketahui, KTMB tidak bertanggungjawab di atas sebarang kecurian atau kerosakan kenderaan yang diletak di situ, tapi saya faham pengguna tiada pilihan selain terpaksa meletakkan sahaja motosikal mereka setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya menerima 13 laporan kes kecurian motosikal di stesen KTMB Sungai Petani dan Gurun sejak Januari lalu sehingga kini.

“Untuk rekod, sebanyak 22 kes kecurian motosikal dilaporkan pada tahun 2020, manakala pada tahun lalu terdapat 10 kecurian motosikal. Antara motosikal yang kerap dilaporkan hilang adalah Honda EX5, Yamaha Y15, SYM Bonus dan Modenas Kriss,” katanya.

Tambahnya, setiap kes kecurian motosikal terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya