AMPANG : Gara-gara putus cinta, seorang pelajar kolej wanita maut akibat terjatuh dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Bandar Baru Ampang, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.26 petang, wanita berusia 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan patah tangan serta kaki.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, berdasarkan siasatan, wanita itu tinggal bersama ibu dan tiga adik-beradiknya di sebuah unit di pangsapuri berkenaan.
“Pada hari kejadian, dia disyaki naik ke tingkat enam pangsapuri sama sebelum terjun melalui balkoni.
“Mayatnya ditemukan dalam keadaan terlentang di bawah bangunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Ampang, di sini, untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR). –UTUSAN