Pas mahu bersama UMNO bukan tidak yakin pengaruh Bersatu - Utusan Malaysia

Pas mahu bersama UMNO bukan tidak yakin pengaruh Bersatu

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menolak dakwaan hasrat parti itu mahu kembali bersama UMNO kerana tidak yakin dengan kekuatan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut beliau, walaupun jentera Bersatu di peringkat cawangan tidak sekuat Pas, namun parti itu mempunyai kekuatan dan pengaruh tersendiri.

Malah, katanya, berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor dan Melaka sebelum ini didapati Bersatu mendapat sokongan kebanyakan pengundi. 

“Saya fikir Bersatu ada pengaruh walaupun mungkin cawangan jentera tidak sekuat Pas, tetapi secara realiti kita ada kira-kira 43 peratus pengundi atas pagar yang baru kali pertama mengundi.

“Kita lihat ada kecenderungan mereka (mengundi) rakan kita daripada Bersatu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas   ceramah perdana Pra Himpunan Teguh Pertahan dan melancaran Jentera PRU15 Pas Terengganu di Dataran Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak di sini, malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob serta Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.

MENUMPANG

Dalam masa sama, Tuan Ibrahim berkata, Pas menafikan dakwaan Bersatu pula hanya mahu menumpang kekuatan jentera Pas menerusi kerjasama Perikatan Nasional (PN) untuk menghadapi PRU15.

Katanya, Pas tidak pernah mempertikaikan kemampuan Bersatu dalam PN, sebaliknya saling bekerjasama untuk membantu kemenangan kedua-dua parti itu.

“Kita bersama dalam muafakat politik, tidak timbul soal jentera (dan) kita bersama-sama ke arah kemenangan bersama.

“Tak timbul soal tumpang-menumpang kerana bagi kita setiap parti ada kelebihan dan ada kekurangan yang kita saling tampung-menampung,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menguatkan cakap-cakap Muafakat Nasional (MN) dihidupkan kembali bagi mengelakkan pertembungan dua parti itu pada PRU15.

Difahamkan, pertemuan itu berlangsung Selasa lalu dan keputusan perbincangan itu bakal dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Ter tinggi (MKT) UMNO, 30 September ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya