PUTRAJAYA: Selepas mencatatkan bidaan besar menerusi siri plat pendaftaran kenderaan ALL pada 2019, kini Perak sekali lagi menjadi tumpuan seluruh negara dengan siri AMR pula.
Malah, hantaran pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui laman sosialnya hari ini mengenai tawaran kombinasi huruf terkini itu turut tular diperkatakan warganet tempatan.
Mereka ternyata begitu teruja kerana gabungan tiga huruf rumi itu menyerupai nama individu iaitu Amri contohnya pemain bola sepak popular, Amri Yahya dan komposer muzik, Saari Amri.
Nama ini yang bermaksud urusanku dalam bahasa Arab, turut popular di Indonesia pada akhir 1990-an lalu kerana memberi pengertian sebagai kekasih dalam dialek masyarakat tempatan.
Justeru, ada netizen menerusi komen dalam akaun sosial JPJ itu menjangkakan AMR 1 akan menjadi rebutan ramai sebagaimana siri plat JEF untuk kenderaan darat di Johor pada 1996.
Berdasarkan hantaran JPJ itu, bidaan siri AMR dibuka selama lima hari sahaja bermula Ahad ini sebelum ditutup pukul 10 malam Khamis depan dengan keputusan diumum keesokannya.
Peminat dari seluruh negara boleh melaksanakan proses pembidaan siri itu secara elektronik sepenuhnya menerusi pautan laman sesawang rasmi agensi iaitu https://jpjebid.jpj.gov.my.
Siri plat Perak pernah menjadi fokus pada 2019 apabila ALL melakar sejarah rekod bidaan kedua tertinggi bagi negeri tersebut iaitu RM3.4 juta dengan plat ALL 1 telah dibida RM278,000.
Ia sekali gus berjaya mengatasi bidaan untuk siri huruf paling tinggi negeri berkenaan sebelum ini pada 2017 lalu iaitu plat AKU 1 dengan nilai hanya RM207,898 oleh seorang lelaki Melayu.
Bagaimanapun siri pendaftaran plat AKU dengan kutipan yang mencecah sehingga RM3.5 juta itu muncul sebagai rekod pembidaan tertinggi pernah dicatatkan oleh pihak JPJ Perak sendiri.
Untuk bidaan, jumlah minimum bergantung kepada kategori dengan nombor bernilai utama dikenakan kadar bidaan daripada serendah RM20,000 dan kenaikan bidaan ialah RM1,000.
Sementara untuk nombor-nombor yang dianggap menarik pula seperti 11, 88, 555, 888, 8888, 9999, kadar bidaan akan bermula daripada RM3,000 dengan kenaikan ialah setiap RM150.
Ketika ini, siri plat semasa negeri itu ialah AMP dan Perak mula memakai huruf A sejak 1948 menggantikan PK bagi mengelak kekeliruan abjad P digunakan kenderaan di Pulau Pinang. –UTUSAN