OKU hasilkan 1 juta sampul surat - Utusan Malaysia

OKU hasilkan 1 juta sampul surat

HAFIMAZATUL Ashikin yang mempunyai kekurangan fizikal sedang menghasilkan sampul surat di Bengkel Seri Sembilan, Mambau, Seremban.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kekurangan daripada fizikal dan pemikiran tidak menghalang pekerja orang kelainan upaya (OKU) di Bengkel Seri Sembilan, Mambau di sini untuk mencari rezeki sehingga mampu menghasilkan kira-kira 1 juta helai sampul surat sebulan.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd. Ibrahim berkata, menghasilkan sampul surat merupakan pekerjaan utama di bengkel tersebut di mana setiap pekerja OKU akan dilatih terlebih dahulu sebelum diserap sebagai pekerja tetap.

“Bengkel Seri Sembilan ini mendapat kontrak daripada Kementerian Kewangan untuk menyediakan pesanan sampul surat pelbagai saiz daripada lebih 400 jabatan kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Syarat utama kontrak tersebut adalah pekerja mestilah terdiri daripada OKU, sebagai inisiatif untuk membantu golongan tersebut menjana pendapatan sendiri,” katanya ketika ditemui di Bengkel Seri Sembilan, Mambau di sini semalam.

Jelas Harunarrsheed, walaupun menggunakan tenaga kerja OKU, aspek kualiti sentiasa diutamakan dan hasil jualan sebulan bagi penghasilan sampul surat mampu mencapai RM120,000 hingga RM150,000.

“Buat masa ini, terdapat 28 pekerja OKU dari pelbagai kategori yang kebanyakannya mempunyai masalah pembelajaran, pekak dan bisu yang berusia antara 18 hingga 64 tahun.

“Mereka membuat sampul surat daripada proses melipat secara manual, mencetak logo dan pembungkusan,” katanya.

Menurut Harunarrsheed, pekerja OKU di Bengkel Seri Sembilan dibayar mengikut jumlah sampul surat yang dihasilkan di mana mereka mampu memperoleh pendapatan antara RM900 hingga RM1,200 sebulan.

“Sebenarnya di bengkel ini ada lagi bidang pekerjaan lain, tetapi permohonan untuk bekerja membuat sampul surat ini paling ramai kami terima termasuk dari luar Negeri Sembilan.

“Matlamat kami untuk beri peluang pekerjaan kepada OKU kerana bukan semua mampu untuk bekerja di luar yang suasananya lebih mencabar buat golongan seperti mereka,” katanya.

Jelas beliau, keistimewaan pekerja OKU di situ adalah kos tempat tinggal, makan dan minum ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan bengkel, malah petugas akan diberi Elaun Pekerja Cacat (EPC) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Seorang pekerja, Hafimazatul Ashikin Kamaruddin, 31, dari Rompin, Pahang berkata, dia mampu menghasilkan 250 sampul surat dalam masa sehari walaupun mempunyai kekurangan pada bahagian tangan.

“Sebelum diterima bekerja di sini, saya perlu menjalani temuduga dan pemeriksaan kesihatan serta fizikal terlebih dahulu bagi memastikan sampul surat dihasilkan berkualiti dan tidak rosak bagi mengelakkan pembaziran kertas.

“Saya bersyukur kerana dapat bekerja di sini dan mempunyai pendapatan sendiri tanpa berharap kepada ihsan atau bantuan orang lain, saya juga dapat membina keyakinan diri dan belajar cara untuk bergaul serta berkomunikasi,” katanya.

Aqil Nazhan Rahman, 29, yang mempunyai masalah pembelajaran pula berkata, dia pernah bekerja di sebuah kedai runcit tetapi tidak bertahan lama kerana kekurangannya.

“Kami dilayan sama rata namun pendekatannya lebih mesra OKU di sini. Saya tidak kisah apa orang kata, janji saya bekerja dan selesa dengan pekerjaan ini,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya