NS harap dapat luluskan undang-undang tanah adat -

NS harap dapat luluskan undang-undang tanah adat

AMINUDDIN Harun (duduk dua dari kanan) bergambar bersama Hasan Malek (kanan) dan ahli jawatankuasa serta tetamu pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di Seremban semalam.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan berharap Rang Undang-Undang (RUU) Pemegangan Tanah Adat 2022 dapat dibentang dan diluluskan dalam Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelaksanaan RUU itu penting bagi menjayakan komitmen kerajaan negeri mengukuh dan membangunkan tanah adat di negeri ini.

Undang-undang itu, katanya, memberi panduan kepada semua pihak mengenai kaedah memajukan tanah adat di negeri ini.

“Ia dilakukan bukan untuk kepentingan kerajaan tetapi Adat Perpatih yang menjadi amalan di Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Negeri Sembilan, Datuk Seri Hasan Malek.

Aminuddin menjelaskan, antara elemen penting enakmen berkenaan akan membolehkan generasi akan datang mengetahui asal usul adat mereka.

“Pejabat tanah akan meletakkan status tanah dimiliki oleh suku apa bagi membolehkan semua waris suku tersebut tahu latar belakang pewarisan tanah,” ujarnya.     

Menurutnya, kerajaan negeri amat menjunjung tinggi peradaban Adat Perpatih yang menjadi tiang seri kepada kedaulatan negeri ini.

Beliau berkata, pengamatan dan penghayatan yang mendalam terhadap adat itu boleh dijadikan pedoman hidup dalam semua aspek kehidupan.

Sementara itu, kata beliau, penghayatan perjuangan tokoh anti penjajahan perlu juga meliputi kejayaan mereka menolak tawaran ganjaran kemewahan hidup bagi menghentikan tindakan penentangan terhadap penjajah.   

Jelasnya, ramai pejuang anti penjajah yang terus kekal dengan perjuangan mereka meskipun ditawarkan kemewahan hidup dan kemudahan tertentu.

“Baru-baru ini, kita disajikan dengan filem Mat Kilau yang memaparkan perjuangan orang Melayu menentang penjajah British di Tanah Melayu.

“Selain kekuatan fizikal kita dapat lihat tokoh-tokoh pejuang anti penjajah dahulu juga menolak tawaran kemewahan hidup walaupun kehidupan mereka bukan senang,” kata beliau. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya