Musytari nampak amat terang akibat fenomena istiqbal -

Musytari nampak amat terang akibat fenomena istiqbal

TANGKAP layar daripada laman Mysa mengenai fenomena Istiqbal Musytari yang akan berlaku sekali lagi pada pukul 3.25 pagi 27 September 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas kali terakhir disaksikan oleh para peminat astronomi pada 20 Ogos tahun lalu, Musytari akan sekali lagi nampak amat terang akibat disinari penuh oleh matahari esok.

Menurut Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) menerusi laman sosialnya, fenomena unik dikenali sebagai Jupiter Opposition atau Istiqbal Musytari itu dijangka berlaku pukul 3.25 pagi Selasa.

“Planet saiz paling besar dalam sistem suria kita ini akan berada pada kedudukan oposisi atau bertentangan dengan matahari dan boleh dilihat dengan mata begitu terang di langit,” katanya.

Musytari juga ujar Mysa, akan kelihatan sepanjang malam di buruj Pisces kerana berada pada jarak sekitar 4.95 unit astronomi (AU) daripada matahari dan hampir 3.95 AU daripada bumi.

Diameter ketara ukuran jasad samawi planet ini pula akan tampak sebanyak 48.8 saat arka, manakala magnitud kecerahan dijangka sekitar -2.9 apabila berada pada situasi istiqbal kelak.

Selepas fasa oposisi berakhir, planet ini akan masih lagi kelihatan di langit malam di ufuk timur pada waktu maghrib dan kenampakannya semakin menghala ke barat sehingga Mac 2023.

Sekiranya cuaca mengizinkan pada waktu tersebut, orang awam boleh memerhatikan terus Musytari hanya menggunakan mata kasar sahaja dengan cara menghadap ke arah ufuk timur.

“Langit mestilah bebas daripada sebarang halangan pencemaran cahaya pada awal malam dengan planet ini kelihatan seperti titik yang terang dan langsung tidak ada berkelip,” jelas Mysa.

Bagaimanapun ujarnya, penggunaan binokular atau teleskop adalah digalakkan jika ingin melihat permukaan Musytari dengan ciri luaran menonjol yang juga digelar sebagai Great Red Spot.

Bantuan peralatan tersebut turut membolehkan orang awam memerhatikan empat bulan utama planet ini iaitu Io, Europa, Ganymede dan Callisto yang amat dikenali sebagai Galilean Moons.

Istiqbal Musytari kelazimannya berlaku dalam tempoh setiap 13 bulan dan sekiranya terlepas, peluang sebegini akan dapat disaksikan balik sekali lagi pada 3 November tahun depan pula.

Dianggap sebagai planet yang kelima daripada matahari, Musytari memiliki sejumlah 80 bulan dan berputar sebagai gugusan objek satelit semula jadi dengan turut membentuk sistem Jovian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya