TUMPAT: Harga sangat murah menjadi satu daripada punca produk kosmetik murahan atau ‘timbang kilo’ mendapat tempat dalam kalangan remaja untuk tampil cantik tanpa memikirkan kesan kimia jangka panjang akibat penggunaannya.
Selain itu, produk tersebut mudah dibeli dalam pasaran membuatkan golongan remaja lebih tertarik memilih untuk menggunakannya berbanding kosmetik yang disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
Perkara itu didedahkan Pakar Bedah Plastik dan Rekonstruktif, Pusat Pengajian Sains dan Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan Kubang Kerian, Dr. Siti Fatimah Noor Mat Johar.
Dr. Siti Fatimah berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan remaja yang menggunakan produk kosmetik ‘timbang kilo’ itu sering mengalami masalah muka, namun, tiada laporan terperinci diterima.
“Pada masa yang sama, golongan ini (remaja) mudah terpengaruh dengan janji-janji manis yang ditawarkan oleh peniaga berkait dengan keberkesanan produk berkenaan yang diiklankan menerusi laman sosial.
“Saya berharap anak-anak remaja di luar sana tidak terlalu taksub untuk membeli produk tersebut tanpa memeriksa kandungan yang digunakan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Kempen Keselamatan Kosmetik Dalam Kalangan Masyarakat Dengan Kerjasama USM yang turut dihadiri Pengarah Urusan Beauty Kaseh, Mohd. Faizul Rohban Ahmad, di sini hari ini.
Dr. Siti Fatimah memberitahu, golongan ibu bapa dinasihatkan supaya memantau anak-anak supaya membeli produk kecantikan yang mendapat kelulusan KKM.
Katanya, beliau tidak menolak kemungkinan kosmetik ‘timbang kilo’ itu diambil dari negara jiran sebelum pengusaha membungkus semula mengikut jenama masing-masing untuk menarik perhatian.
Sementara itu, Mohd. Faizul Rohban berkata, program tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada umum khususnya golongan remaja mengenai produk kosmetik.
Katanya, golongan remaja diingat supaya berhati-hati dalam memilih produk kecantikan dengan memastikan ia selamat sebelum digunakan iaitu mendapat kelulusan KKM. –UTUSAN