PETALING JAYA: Mesej kanak-kanak yang didakwa hilang dari rumahnya di Dataran Templer, Selayang di sini yang tular sejak semalam adalah adalah kes lama yang ditularkan semula.
Wakil keluarga kanak-kanak tersebut yang enggan dikenali berkata, kanak-kanak itu juga telah ditemukan semula pada hari kejadian.
“Maaf, tetapi ini kes dah lama sangat, dan adik tersebut pun dah dijumpai pada hari kejadian.
“Mohon maklumkan pada semua ya. Terima kasih atas keprihatinan,” katanya ringkas pada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, tular mesej seorang kanak-kanak lelaki didakwa hilang dari rumahnya di Dataran Templer sejak pukul 8 pagi.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan berlaku kegiatan penculikan kanak-kanak menggunakan lori ayam untuk tujuan penjualan organ seperti mesej sedang tular dalam media sosial ketika ini.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A. Skandaguru berkata, mesej berkenaan adalah palsu dan semakan mendapati perkara itu tular sejak tahun 2017 dan kini kembali diulang suar di beberapa platform media sosial.
“PDRM mengesan sebaran mesej palsu meminta masyarakat agar berwaspada berkaitan kejadian penculikan membabitkan sekumpulan kanak-kanak yang diberi bahan terlarang sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.
“Dalam mesej itu juga menyatakan bahawa pihak berkuasa melakukan pemeriksaan ke atas lori berkenaan dan menjumpai enam kanak-kanak di mana tiga daripada mereka tidak boleh bercakap kerana diberi bahan terlarang dan akan dihantar ke negara jiran pemindahan organ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Skandaguru turut mengesahkan tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan penculikan dan penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa. – UTUSAN