PUTRAJAYA: Satu Memorandum Jemaah Menteri berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori dibawa dalam Mesyuarat Kabinet sebelum pembentangan Rang Undang-Undang bagi pindaan akta-akta terlibat dilaksanakan dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen Ke-14.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan tersebut dicapai dalam dua siri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dipengerusikan beliau pada 6 September lalu dan hari ini.
Menurut beliau, Bacaan Pertama bagi Rang Undang-Undang ini dijangka pada 4 Oktober depan dan Bacaan Kedua pada 22 November depan, tertakluk kepada perubahan jadual dari semasa ke semasa.
“Keputusan yang dicapai melalui Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Mengenai Cadangan Balas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dihadiri pelbagai pihak berkepentingan seperti Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan.
“Selain itu, turut dihadiri Kementerian Pertahanan Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Jabatan Penjara Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sesi libat urus
Wan Junaidi berkata, kerajaan juga akan mengadakan satu sesi libat urus bersama wakil ahli Dewan Rakyat dalam masa terdekat bagi membentangkan penetapan dasar berkaitan pelaksanaan hukuman gantian terhadap hukuman mati mandatori.
“Dalam hal ini, kerajaan sentiasa komited memperjuangkan undang-undang yang lebih adil dan penuh belas kasihan dalam isu sebatan serta pelaksanaan hukuman mati.
“Kerajaan secara dasarnya bersetuju dengan cadangan hukuman gantian bagi 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 [Akta 234] dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah serta moratorium pelaksanaan hukuman mati bagi 1,337 banduan,” katanya.
Pada Jun lalu, Wan Junaidi memaklumkan persetujuan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori, susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori pada Mesyuarat Jemaah Menteri.
Susulan pengumuman itu, semua pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan akhir ditangguhkan sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa.- UTUSAN