PETALING JAYA: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan memberi tumpuan usahasama memperkasakan industri pertahanan kedua-dua negara.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, usahama itu dicapai dalam pertemuannya dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
“Ini merupakan hasil kesepakatan yang dicapai sewaktu pertemuan Sheikh Mohamed merangkap Pemerintah Abu Dhabi dan Panglima Tertinggi Angkatan Tentera UAE.
“Saya juga bertemu Menteri Negara bagi Hal Ehwal Pertahanan UAE, Mohammed Ahmed Al Bowardi,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, beliau bersama delegasi Malaysia turut dibawa melawat ke EDGE Group, konglomerasi 25 syarikat milik kerajaan UAE yang menyediakan persenjataan tentera dan teknologi berkaitan.
“Saya dan delegasi turut diberi peluang meninjau Tawazun Industrial Park, Zayed Military City di Abu Dhabi yang juga merupakan lokasi khusus untuk syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa berkaitan pertahanan membangunkan produk-produk mereka.
“Lawatan ini memberi ruang Malaysia untuk mempelajari pendekatan UAE memperkasa industri pertahanan mereka,” katanya.
Menurut Hishammuddin, lawatan selari dengan perancangan kerajaan memandangkan ketika ini Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) sebagai inisiatif susulan kepada Kertas Putih Pertahanan (KPP) sedang giat dirangka.
Katanya, salah satu teras DIPKN mewujudkan Zon Industri Pertahanan yang berkonsepkan Tawazun Industrial Park.
“Ia melibatkan zon perindustrian untuk membantu mengembangkan lagi keupayaan perindustrian UAE, terutamanya menyediakan pangkalan pembuatan untuk produk dan industri berkaitan pertahanan.
“Saya bersama delegasi Malaysia turut meluangkan masa melawat beberapa syarikat pertahanan tempatan termasuklah NIMR, pengeluar kenderaan perisai dan CARACAL iaitu pengeluar senjata pistol, senapang dan sniper,” katanya.
Selain itu katanya, usaha memperkukuh industri pertahanan kedua-dua negara diteruskan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan syarikat konglomerat UAE, EDGE Group.
Katanya, MoU berkenaan dimeterai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd. Rahman dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif EDGE Group, Mansour Mohamed Al Mulla ketika lawatan ke EDGE Group dan Tawazun Industrial Park.
“MoU tersebut membolehkan penerokaan peluang kerjasama lebih erat antara LTAT dengan EDGE Group dalam usaha menyokong pelbagai bentuk keupayaan dan penyelesaian pertahanan,” katanya. – UTUSAN