TANAH MERAH: Seorang lelaki dicekup bersama dadah jenis pil Epam dan pelbagai senjata berbahaya selepas kereta jenis Proton Saga Iswara yang dipandunya terbabas ke dalam gaung di Kampung Air Asahan Hulu, di sini, semalam.
Lelaki yang berusia 31 tahun itu ditahan pada pukul 9 malam oleh anggota unit kereta peronda polis (MPV) selepas bertindak mengejar kereta yang dipandu oleh suspek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Mohd. Razi Rosli berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas kereta suspek, pihaknya menjumpai 20 biji pil Epam.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan sebilah parang, sebilah pisau dan sebilah lawi ayam yang disembunyikan di bawah tempat duduk pemandu.
“Siasatan awal yang dilakukan suspek mengaku semua senjata berbahaya yang ditemui itu miliknya.
“Suspek turut mengaku dia bertindak melarikan diri selepas bimbang ditahan kerana membawa senjata merbahaya selain daripada dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Razi berkata, saringan air kencing turut dilakukan mendapati suspek positif Methamphitamine dan mempunyai 10 rekod berkaitan jenayah serta dadah.
Katanya, suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1) Akta Barang Kakisan Letupan Senjata Berbahaya 1958/279 Kanun Keseksaan. –UTUSAN