PETALING JAYA: Malaysia seharusnya menumpukan kepada pembinaan dua buah kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berbanding menyiapkan semua enam kapal tersebut.
Sumber ketenteraan asing yang dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, ini setelah mengambil kira kontroversi yang melanda projek itu dan juga hasil dapatan daripada siasatan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), baru-baru ini.
“Pihak kami telah membaca banyak kemungkinan berhubung pembinaan LCS. Pendapat saya, pilihan terbaik buat Malaysia ialah menyiapkan sekurang-kurangnya dua kapal LCS, dan menyingkirkan idea untuk membina kesemuanya.
“Ini akan membolehkan mereka (Boustead Naval Shipyard Sdn. Bhd.) menumpukan kepada pembinaan dua kapal sahaja. Yang jelas mereka kini tidak mempunyai kapasiti untuk menyiapkan semuanya sekali gus, mengambil kira kontroversi yang tercetus,” dakwa sumber tersebut.
Ketika ini, kapal 1 didakwa sudah disiap 60 peratus, kapal 2 (48 peratus), kapal 3 (43 peratus), kapal 4 (36 peratus), kapal 5 ( 22 peratus) dan kapal keenam belum bermula.
Dalam pada itu, sumber berkata, sebagai wakil ketenteraan yang ditugaskan di negara ini dan sering membuat kunjungan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), beliau mendapati kemajuan projek LCS berada pada landasan betul sehinggalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Namun, dakwa sumber itu, untuk mengaitkan isu LCS dengan keputusan PRU14 adalah sesuatu yang kurang tepat.
“Kemajuan pembangunan LCS berada di landasan yang betul sehingga 2018. Saya tidak tahu sama ada betul atau salah untuk mengaitkan isu ini dengan pilihan raya 2018 kerana untuk mengaitkannya dengan pilihan raya mungkin tindakan yang salah.
“Mungkin isu ini tiada kaitan politik, mungkin ada masalah pengurusan,” katanya.
Dalam pada itu, sumber tersebut mendakwa, pengurusan yang diberi tanggungjawab untuk membina kapal LCS memang tidak efisien.
“Mereka menangguhkan satu demi satu perkara. Ia kemudian menjadi seperti runtuhan salji. Tetapi apa yang saya cukup pasti, selepas pilihan raya 2018, ia menjadi semakin perlahan, tetapi saya tidak tahu mengapa ia berlaku begitu,” kata sumber yang memaklumkan beliau memang mengikuti perkembangan isu projek LCS tersebut sejak awal.
Isu LCS menjadi panas pada 4 Ogos lalu apabila PAC mendedahkan sembilan kesimpulan berhubung projek LCS yang mendapati tiada satu pun kapal LCS siap walaupun kerajaan telah membuat bayaran sehingga lebih RM6.083 bilion.
Kontrak projek kapal tersebut diberikan secara rundingan terus dan lima kapal sepatutnya sudah disiap dan diserahkan pada tahun ini. – UTUSAN