TELUK INTAN: Keadaan Datuk M. Daud Kilau mula menunjukkan perkembangan positif, malah kembali sedar sejak malam tadi.
Anak keduanya, Ahmad Zaini, 51, berkata, bapanya mula menunjukkan perkembangan kesihatan yang positif berbanding sebelumnya.
“Datuk sudah sedar dan boleh makan, semalam dia tak boleh makan dan minum,” katanya.
Sementara itu, isteri Daud Kilau, Datin Rohani Awang Ngah, 62, berkata, keadaan penyanyi veteran tanah air itu masih lemah, namun sudah boleh diajak bersembang.
“Bila saudara mara datang, dia bersembang juga, tapi tidak boleh lama. Bila rasa penat dia akan pejamkan mata semula dan tidur,” katanya.
Kelmarin, penyanyi veteran itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat masalah paru-paru berair dan dirawat di Hospital Teluk Intan.
Penyanyi itu dilaporkan kritikal sebelum ini sehingga menggunakan alat bantuan pernafasan.
Penyanyi berusia 84 tahun itu mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu selepas disahkan menghidap kencing manis selain sakit pinggang dan jantung tidak stabil.
Penyanyi itu sebelum ini pernah dimasukkan ke Hospital Teluk Intan selepas mengadu sesak nafas dan menjalani prosedur pembedahan angioplasty di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur, dua tahun lalu. – UTUSAN