TUMPAT: Kerajaan mengambil tindakan tegas kepada peniaga yang menjual ayam melebihi harga siling RM9.40 sekilogram susulan timbul dakwaan peladang sedang mencatu bekalan bahan mentah itu ketika ini.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sentiasa memantau dengan teliti isu tersebut.
Menurut beliau yang juga ahli Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, peniaga tiada sebab untuk menaikkan harga ayam kerana kerajaan masih memberi subsidi terhadap bahan mentah itu.
“Kita sedia maklum beberapa rungutan mengenai kesukaran mendapat bekalan ayam selain daripada harga anak ayam yang meningkat. Kerajaan juga sentiasa memantau maklum balas pengguna melalui laporan media.
“Selain itu, kerajaan akan memastikan isu mengenai ayam dapat distabilkan dan ayam masih dijual tidak melebihi harga siling iaitu RM9.40,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Laman Warisan di Kampung Laut di sini hari ini.
Mustapa memberitahu, Projek Laman Warisan akan siap sepenuhnya pada Mac lalu dengan melibatkan kos bernilai RM40 juta yang merangkumi dua komponen iaitu Laman Serunding dan Laman Seni.
“Kos tersebut termasuk kos pengambilan tanah sebanyak RM7.5 juta. Laman Serunding siap pada Jun tahun lalu manakala Laman Seni yang menempatkan Masjid Kampung Laut pula pada Mac lalu baru-baru ini.
“Projek itu dapat memberi manfaat dan peluang pekerjaan kepada penduduk. Peniaga menerima manfaat daripada projek yang diselenggara oleh Majlis Daerah Tumpat dengan kerjasama Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur,” ujarnya.- UTUSAN