KUALA LUMPUR: Peguam Datuk Jagjit Singh berhujah di Mahkamah Tinggi sebentar tadi bahawa deraf penghakiman kes projek solar hibrid Datin Seri Rosmah Mansor tidak disediakan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan, sebaliknya dibuat oleh lebih daripada dua individu lain.
Beliau berhujah, individu-individu berkenaan mempunyai akses terhadap nota keterangan mahkamah dan memberi pandangan sama ada keterangan saksi-saksi adalah berwibawa atau sebaliknya.
Hujah beliau, ketirisan deraf penghakiman tersebut menimbulkan persepsi umum wujudnya ketidakadilan yang nyata terhadap isteri bekas Perdana Menteri dan seterusnya merosakkan integriti badan kehakiman.
Jagjit turut mempertikaikan siapa ‘kami’ yang beberapa kali disebut dalam penghakiman itu yang jelas menunjukkan ia disediakan oleh ramai pihak.
Beliau berhujah demikian ketika mengemukakan permohonan agar Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada prosiding rasuah projek solar hibrid yang sepatutnya diputuskan hari ini.
Hakim Mohamed Zaini akan menyampaikan keputusan permohonan itu petang ini.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika berhujah, mempertikai sama ada Rosmah akan memfailkan permohonan itu jika keputusan mahkamah memihak kepadanya.
Hujah beliau, permohonan itu jelas bertujuan menyerang kredibiliti hakim bicara.
Sri Ram turut menghujahkan, jika sekalipun hakim bicara bersetuju dengan pandangan yang diutarakan dalam deraf penghakiman tersebut, ia tidak menjadikan hakim itu tidak berwibawa.
Beliau turut menarik perhatian mahkamah bahawa setiap hakim mempunyai cara kerja tersendiri ketika menyediakan alasan penghakiman.
Sehubungan itu, Sri Ram menghujahkan, Rosmah tidak wajar mempersoal cara kerja hakim dan kemudian mengemukakan aduan bahawa hakim berkenaan tidak bebas dan boleh dipengaruhi.
Hujah beliau, aduan Rosmah berhubung integriti hakim hanya sesuai dikemukakan dalam petisyen rayuan di Mahkamah Rayuan.
Sri Ram turut menghujahkan, Rosmah bergantung kepada dokumen yang disiarkan dalam portal berita oleh Raja Petra Kamaruddin bagi menyokong permohonannya.
Sri Ram bagaimanapun menyifatkan Raja Petra Kamaruddin sebagai penulis sampah yang bersembunyi di United Kingdom dan menulis berdasarkan bayaran yang diterimanya.
Kelmarin, Rosmah memfailkan permohonan pada saat-saat akhir sebagai percubaan terbaharu untuk menangguhkan keputusan akhir kesnya selepas tindakan sivil untuk mencabar pelantikan Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, tidak dibenarkan pada hari yang sama.
Mahkamah sepatutnya menyampaikan keputusan sama ada mensabit atau membebaskan Rosmah daripada pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.
Dalam notis usul dan afidavit sokongan yang diikrarkannya, Rosmah meragui integriti Hakim Mohamed Zaini ekoran insiden pembocoran dokumen penghakiman yang disiarkan oleh sebuah portal berita.
Laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here‘ yang disiarkan pada 26 Ogos lalu, kemudian tular dalam media sosial. –UTUSAN