Kemboja beri jaminan selamatkan mangsa sindiket penipuan kerja

Kemboja beri jaminan selamatkan mangsa sindiket penipuan kerja

Keluarga mangsa penipuan kerja di luar negara memegang plakad merayu campur tangan kerajaan di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Kemboja memberi jaminan untuk menyelamatkan mangsa penipuan sindiket kerja melibatkan rakyat Malaysia yang masih hilang di negara tersebut.

Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Samdech Kralahom Sar dalam Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas  Sempadan (AMMTC) ke-16, semalam.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, Samdech yang mengetuai delegasi negaranya memberi maklum balas positif mengenai perkara berkenaan.

“Samdech menyatakan komitmen Kemboja untuk menyelamatkan mangsa bersama negara-negara terlibat bagi membanteras sindiket penipuan pekerjaan di negara mereka,” katanya.

Selain Kemboja, mesyuarat berkenaan turut disertai 10 negara ASEAN lain, rakan-rakan dialog serta sekretariat badan berkenaan.

Malaysia diwakili Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz;  Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud dan pegawai-pegawa kanan KDN.

Pada masa sama, KDN menyatakan komitmen untuk membantu dan menyelesaikan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

Menurutnya, KDN juga menubuhkan pasukan petugas khas di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan tindakan menangani isu sindiket berkenaan.

“Pasukan itu turut bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (INTERPOL), Polis ASEAN (ASEANAPOL) dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti itu,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan kini sedang berusaha melalui semua saluran untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan kerja.

Menurutnya, kerajaan prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara seperti Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja.

Baru-baru ini, seramai 15 rakyat negara ini diselamatkan daripada sindiket berkenaan dan selamat tiba d tanah air.

Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh sebelum ini menyelamatkan seramai 46 rakyat Malaysia selepas dipercayai ditipu dengan sindiket tawaran pekerjaan lumayan di luar negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya