JPA selaras elaun sara hidup pelajar luar negara - PM - Utusan Malaysia

JPA selaras elaun sara hidup pelajar luar negara – PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diiringi Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid melambai ke arah pelajar selepas program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di Institut Jerman-Malaysia (GMI) di sini, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Perdana Menteri mahu kadar elaun sara hidup (ESH) pelajar tajaan di luar negara diselaraskan bagi membolehkan kadar diterima tidak jauh berbeza dengan penaja-penaja lain.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) meneliti semula kadar ESH itu sekali gus mengurangkan beban pelajar.

“Saya sudah bercakap dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Mohd. Syafiq Abdullah supaya menyelaras kadar ESH itu.

“Saya maklumkan kepada KPPA supaya jangan ada perbezaan sangat dari segi kadar elaun terutama antara pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan penaja lain.

“Saya dapat maklumat ada penaja yang memberi tajaan jauh lebih tinggi tapi kadar minimum itu patutnya sama sahajalah,” kata Perdana Menteri selepas menyempurnakan Program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia di German-Malaysia Institute (GMI) di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, beliau difahamkan, JPA sedang menyelaraskan kadar ESH bersama penaja lain supaya kadarnya lebih kurang sama.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan kadar ESH pelajar tajaan Mara di dalam dan luar negara berkuat kuasa bulan ini.

Kata beliau, kadar ESH baharu bagi pelajar dalam negara minimum RM650 sehingga maksimum RM950 sebulan, manakala kadar ESH bagi pelajar luar negara pula dinaikkan kepada kadar minimum RM1,380 sebulan sehingga maksimum RM7,600 sebulan.

Kadar kenaikan itu bermula daripada peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda sehingga peringkat Doktor Falsafah dan peringkat profesional.

Sebelum ini, Badan Perhubungan Negara United Kingdom dan Eire (BPN UKE) mendedahkan kos sara hidup pelajar di United Kingdom dan Ireland melambung  dan membebankan pelajar tajaan Mara dan JPA.

Sementara itu, berkaitan ramalan banjir November ini, Kabinet akan bermesyuarat Isnin ini bagi membincangkan persediaan negara.

Perdana Menteri berkata, beliau akan memanggil semua pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi berkaitan dan wakil kerajaan negeri untuk turut serta dalam mesyuarat itu.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya