PASIR SALAK: ‘Kalau jadi apa-apa pada adik, jaga ibu elok-elok’.
Itu antara kata-kata terakhir Muhammad Rafiq Iskandar, kanak-kanak lelaki 11 tahun yang maut dalam kemalangan jalan raya bersama sepupu lelakinya yang sebaya dengannya, Muhammad Daniel Izwan Shah Ramdura di Parit 7A, Sungai Manik di sini tengah hari kelmarin.
Ibu Muhammad Rafiq, Siti Nurhaliza Md. Rashid, 44, berkata, kata-kata itu diucapkan oleh anaknya itu pada malam sebelum kemalangan.
Katanya, anaknya itu berkata demikian ketika bergurau dengan bapa tirinya.
“Malam sebelum kejadian, anak saya bergurau dengan bapa tirinya, dia cakap ‘boleh tak Rafiq tidur dengan papa’, dia memeluk papanya dan kata dia sayangkan bapa tirinya.
“Dia berpesan pada bapa tirinya kalau apa-apa terjadi kepadanya, jaga ibu sedangkan sebelum ini dia tak pernah bercakap demikian.
“Saya juga masih ingat semasa saya ke Perlis baru-baru ini, dia beriya-iya menghubungi saya minta belikan seluar lalu saya belikan dan seluar yang saya beli itulah seluar terakhir yang dia pakai semasa kemalangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Siti Nurhaliza berkata, anaknya amat rapat dengan sepupunya, Muhammad Daniel Izwan Shah dan mereka sering bersama-sama ke mana sahaja.
Katanya, sepupu anaknya itu tinggal di Klang, Selangor dan kedua-dua mereka berjumpa di sini kerana menghadiri majlis perkahwinan saudara.
Katanya, semasa kemalangan semalam, dua sepupu itu menunggang motosikal tanpa pengetahuan dia dah ahli keluarga yang lain.
“Dia tak pernah bawa motor ke jalan besar, biasanya dalam kawasan dekat rumah sahaja. Tapi, semalam, dia ini tolak motor jauh dari rumah sebelum menghidupkan enjin dan terus ke jalan besar.
“Kami terima panggilan telefon mengenai kemalangan anak saya dan sepupunya. Allah sahaja yang tahu perasaan saya, rasa nak tercabut nyawa tapi saya reda dengan ketentuan Tuhan,” katanya.
Sementara itu, ibu kepada Muhammad Daniel Izwan Shah, Siti Noor Huslinda Md. Rashid ,42, yang juga adik kepada Siti Nurhaliza berkata, anaknya itu memang rapat dengan Muhammad Rafiq dan mereka tak boleh berenggang.
Katanya, sebelum kejadian semalam, dua sepupu itu tidur bersama di atas kerusi panjang dalam keadaan berpelukan.
“Mereka nampak begitu ceria sebelum terlibat dalam kemalangan. Saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Jenazah dua sepupu itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Chenderong Balai, Parit 1 pada kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Kelmarin, dua orang sepupu itu maut setelah motosikal yang dinaiki mereka dilanggar oleh dua buah kenderaan ketika keluar daripada simpang jalan di Parit 7A, Sungai Manik di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kedua-dua mangsa berusia 11 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah. –UTUSAN